Sunday, December 6, 2009

* Cantik & Islam *

Situasi 1:

NUR CaHaYa: Wah, cantiknya mak masa muda-muda dulu.
Bonda : Biasalah, perempuan-perempuan muda kan semuanya cantik.


· Ikhlas saya memuji kecantikan ibu di alam gadis ketika menatap sekeping gambar lamanya. Ibu kelihatan sungguh cantik berbaju kebaya dengan sekuntum senyuman yang menawan ditambah dengan potongan pinggang ramping ala Saloma, hehe. Dan itulah respond ringkas yang mak berikan dengan nada merendah diri.


Situasi 2:

NUR CaHaYa: Cantik tak pengantin perempuan tu, mak?
Bonda : Biasalah, perempuan-perempuan muda kan semuanya cantik.

· Itu soalan yang saya ajukan sebaik sahaja ibu pulang dari kenduri kahwin. Sekali lagi, ibu memberi jawapan yang sama dalam dua situasi berbeza.

Saya bersetuju dengan pendapat ibu saya itu kerana saya pernah terbaca kata-kata:
“Tiada wanita yang hodoh. Hanya kecantikan berbeza.”

Apabila berbicara soal kecantikan, mungkin ia dianggap isu yang remeh. Namun, ada juga pihak yang berpendapat, melibatkan diri dalam bidang perniagaan berkaitan dunia kecantikan dapat memberi pulangan yang cukup lumayan. Secara fitrahnya, semua orang mahu kelihatan cantik. Semua orang sukakan sesuatu yang nampak cantik. Cantik yang saya maksudkan di sini hanya berfokus kepada keindahan ciptaan Allah terhadap manusia terutamanya golongan wanita. Ya, mungkin definisi ‘cantik’ itu sendiri berbeza bagi setiap individu kerana ia subjektif sifatnya. Oleh kerana itu, pepatah Inggeris ada menyebut,

‘Beauty is in the eyes of the beholder’

Secara peribadi, saya merasakan wanita cantik itu wujud dalam setiap golongan. Kanak-kanak ada yang cantik, gadis remaja ada yang cantik, wanita dewasa ada yang cantik. Malah, wanita tua juga ada yang cantik. Contohnya, pelakon veteran, Dato’ Sarimah Ahmad masih kelihatan cantik dan anggun dalam usia menjelang 60-an. Apatah lagi, saya memang mengagumi makcik-makcik yang masih kelihatan menawan di usia tua, terutamanya wanita-wanita Indonesia. Kebanyakannya kelihatan cantik secara semulajadi dan awet muda mungkin kerana mereka konsisten mengamalkan jamu serta petua-petua tradisional sejak usia muda remaja. Bagi saya, ibu saya yang telah tua juga cantik orangnya kerana saya dapat melihat kecantikan hatinya ;-)
Isu kecantikan ini juga boleh menjadi isu yang sensitif untuk dibualkan. Mungkin boleh menerbitkan rasa riak kepada yang memilikinya dan mengundang rasa dengki kepada yang tidak memilikinya. [Ya Allah, hindarkanlah kami daripada dua penyakit hati ini, amin...~]
"Dan apa sahaja yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kesenangan hidup duniawi dan perhiasannya; sedang apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Tidakkah kamu mengerti?"
[al-Qasas: 60]
Baru-baru ini sejuk hati saya menonton pertandingan akhir “Gadis Melayu 2009” di saluran TV9. Seorang pelajar universiti berumur 20 tahun yang bertudung telah dinobatkan sebagai juara. Rasanya, peserta-peserta lain pada malam itu tidak kurang cantiknya tapi hanya Fika satu-satunya peserta yang bertudung. Bagi saya, pemilihan Fika sebagai juara adalah tepat. Beliau bukan sahaja dinilai dari segi kecantikan luaran tapi juga keyakinan dirinya berinteraksi dengan para penonton, bakat lakonan semulajadi yang mampu menyentuh hati, kebijaksanaannya menjawab soalan-soalan daripada pihak juri serta kesopanan dirinya sebagai gadis Melayu yang beragama Islam.

Cukupkah wajah yang cantik tanpa iman yang mantap?

Cukupkah wajah yang cantik tanpa akhlak yang indah?

Cukupkah wajah yang cantik tanpa akal yang bijak?

Tidak dinafikan wajah yang menarik dan tubuh badan yang ideal adalah aset berharga bagi seorang wanita untuk meningkatkan keyakinan diri. Contohnya, Mendiang Lady Diana bukan sahaja dipuja di seluruh dunia kerana sifat rendah dirinya tetapi juga kerana kecantikan yang dimilikinya. Namun, kecantikan luaran bukanlah segala-galanya dan ia tidak akan kekal lama. Mungkin anda juga pernah menonton drama TV “Sumpah Bunian” lakonan Nora Danish. Nora membawakan watak gadis Bunian yang cukup cantik tetapi berubah menjadi hodoh apabila wajahnya terkena air panas. Walaupun itu sekadar lakonan semata-mata, namun besar pengajaran yang dapat diambil. Kecantikan itu milik Allah dan bila-bila masa sahaja Allah berhak mengambilnya kembali.
Dengan menyedari akan hakikat ini, maka tidak akan timbul rasa riak dan bangga apabila dipuji, "Awak ni cantik la, lawa la, manis la, ayu la, cun la..." Segala pujian semestinya dikembalikan kepada Allah Yang Maha Pencipta dengan lafaz 'Alhamdulillah...'

“Allah itu Maha Cantik dan sukakan kecantikan”

Apabila dikaitkan kecantikan dan Islam, maka apa yang boleh kita perbincangkan? Maksud firman Allah di dalam al-Quran:

"Dijadikan indah pada manusia kecintaan pada apa-apa yg diingininya iaitu wanita-wanita…"
(Ali Imran: 14)

Ayat ini telah menunjukkan bahawa wanita terletak di tangga teratas sebagai sesuatu yang menjadi kecintaan manusia. Sememangnya setiap wanita mempunyai daya penarik tersendiri dan kerana itu wanita dikatakan sebagai hiasan dunia. Dan ingatlah wahai diri, secantik-cantik hiasan dunia di sisi ALLAH hanyalah wanita solehah.

Kecantikan wanita mampu membuat lelaki lemah imannya, membuat lelaki runtuh egonya, membuat lelaki tidak lena tidurnya. Oleh yang demikian, adalah sunat hukumnya bagi seorang isteri untuk berhias di hadapan suaminya untuk menghiburkan hati suaminya itu. Islam juga menggariskan kecantikan sebagai salah satu faktor pemilihan wanita sebagai isteri, tapi telah ditegaskan dalam sabda Rasulullah, itu bukanlah faktor utama:

Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata: Rasulullah saw bersabda:
"Wanita dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah yang bagus agamanya, kalau tidak nescaya engkau celaka"
(HR Bukhari dan Muslim)

Bahagiakah sorang suami yang mempunyai isteri cantik tetapi berlaku curang?

Bahagiakah seorang suami jika mempunyai isteri cantik tapi mengabaikan bertanggungjawab terhadap rumah tangga?

Bahagiakah seorang suami yang mempunyai isteri cantik tapi hanya mementingkan dunia dan melupakan akhirat?

Maksud sabda Rasulullah S.A.W:
“Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinasakannya. Janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya menyebabkan kederhakaannya. Sebaliknya, nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya, wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu.”
[Riwayat Abdullah Ibn Humaid)

Besar pengajaran hadis ini buat lelaki dan wanita. Lelaki janganlah mementingkan kecantikan dalam memilih isteri dan wanita pula janganlah merasa rendah diri jika merasa diri kurang cantik. Sesungguhnya, orang-orang yang ikhlas dalam beragama itu sama ada lelaki atau wanita akan sentiasa disukai, insyaAllah.

Ada satu tazkirah yang mahu dikongsi di sini. Sebenarnya, kita semua dapat memiliki wajah yang bersih dan ‘sejuk mata memandang’ jika mengamalkan doa setiap hari, insyaAllah. Doa itu dibaca ketika mengambil wuduk. Basuhlah wajah sambil berdoa:

“Ya Allah, putihkanlah wajahku di akhirat kelak sebagaimana Engkau putihkan wajah-wajah orang yang beriman.”


Kecantikan luaran dapat diusahakan dengan cara yang makruf. Wanita-wanita moden hari ini mempunyai banyak alternatif untuk mendapatkan atau mengekalkan kecantikan yang diidam-idamkan. Terlalu banyak spa wujud untuk rawatan luar dan dalam, pengenalan bermacam-macam makanan kesihatan untuk mengekalkan keanjalan wajah, pelbagai kosmestik kecantikan jenama tempatan dan antarabangsa, terdapat program-program kelangsingan badan yang hebat dan sebagainya. Semua itu tentunya memerlukan perbelanjaan yang besar untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Tapi, berhati-hatilah…

Ada yang sesuai dan ada yang tidak.
Ada yang boleh dibawa solat dan ada yang tidak.

Kajilah dengan teliti dan bertanyalah kepada mereka yang lebih arif. Setiap amal itu bermula dengan niat. Ingatkan diri sendiri, sentiasa memperbetulkan niat. Kecantikan itu untuk siapa? Kecantikan itu untuk apa?


Persoalannya, cukupkah kecantikan luaran sahaja yang diukur dalam menjadi wanita sejati? Bukankah kecantikan luaran itu sementara sifatnya. Dari segi perspektif Islam,


Layakkah perempuan-perempuan cantik yang seksi dan tidak bertudung itu dicontohi?

Layakkah perempuan-perempuan cantik yang rosak akhlaknya itu dipuji?

Layakkah perempuan-perempuan cantik yang sombong dan angkuh itu disanjung tinggi?


Cantik atau tidak wajah dan fizikal seseorang itu adalah persoalan kedua. Perkara asas yang paling utama ialah kecantikan hati. Kecantikan batiniah yang akan menyerlahkan kecantikan zahiriah. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa kecantikan itu bukan sahaja satu anugerah yang wajib disyukuri tetapi juga satu ujian untuk menguji iman di hati. Kecantikan tidak semestinya membawa bahagia tetapi mungkin juga mengundang derita.


Contohnya, Siti Sarah yang merupakan isteri Nabi Ibrahim a.s. dikurniakan wajah yang sangat cantik pada zamannya sehingga menjadi idaman raja Mesir. Nabi Ibrahim a.s diugut bunuh jika tidak menyerahkan isterinya itu kepada raja tersebut. Kisah lain, Nabi Yusof a.s dikurniakan Allah wajah yang cukup indah dan tampan yang benar-benar menguji keimanannya kepada Allah. Apabila digoda oleh Zulaikha, lantaran kekuatan iman Nabi Yusof, beliau sanggup dipenjarakan daripada melakukan maksiat terhadap Tuhannya.


Kesimpulannya, untuk memiliki kecantikan yang menyeluruh sebagai satu pakej lengkap bukanlah mudah. Dan bukan semua wanita juga cukup bertuah jika dikurniakan kecantikan hakiki yang dinilai dari luar dan dalam. Seperti hadis Rasulullah S.A.W yang cukup popular:

“Allah tidak melihat kepada muka dan tubuh badanmu, tapi Allah melihat kepada hati dan amalan-amalanmu”.


Wahai diri,

Syukurilah wajah dan fizikal kurniaan Illahi
Teruslah berusaha memperbaiki kualiti keperibadian diri
Kerana hanya hati yang suci dan amalan yang murni
Akan kekal dibawa sehingga mati


Waallahu ‘alam…~

Thursday, October 29, 2009

* Pemilik Cintaku Setelah ALLAH & Rasul *

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. yang masih memberi kesempatan kepada diri ini. Kesempatan terbesar untuk terus hidup! Secara peribadi, terasa lega yang teramat kerana semester 7 yang sangat mencabar baru sahaja berakhir. It’s time for blogging! Hehe…

Baru-baru ini, terdetik di hati untuk berjumpa seorang sahabat baik yang baru sahaja bergelar isteri. Nur Hidayah Azzati, satu nama yang cukup saya kagumi. Dia antara sahabat terbaik yang pernah saya temui. Sangat mendalam ilmu agamanya, sifat solehah sangat terserlah pada penampilannya, ayu dan manis wajahnya, lembut dan jujur tutur bicaranya. Itulah gambaran tentang Dayah daripada kaca mata saya… daripada pandangan hati saya.

Sajak yang tak seberapa di bawah, saya cipta khas buat Dayah:

Nur Hidayah Azzati,
Kau temanku kala senang dan susah
Teguh imanmu tak pernah goyah
Mengenalimu satu anugerah
Mencontohimu terasa payah

Ya Allah,
Aku ini insan yang lemah
Bantulah aku untuk berubah
Menjadi sebenar-benar gadis muslimah
Hanya mengharap janji-Mu yang indah~

Hajat di hati cuma mahu melepaskan rindu, mengucapkan tahniah dan melihat gambar-gambar perkahwinannya. Tapi, pertemuan kami ternyata tidak sia-sia. Selepas berkongsi kisah sebenar tentang perkenalan, pertunangan dan perkahwinannya, Dayah mencadangkan saya untuk membaca sebuah buku hebat; ‘Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul’, hasil karya Fatimah Syarha Mohd Noordin.
Sebenarnya, buku ini merupakan salah satu hantaran daripada Dayah kepada suaminya pada hari perkahwinan mereka. Erm, idea yang bijak. Suami dan isteri bersama-sama menambah ilmu dengan membaca.

Mendengar tajuk buku itu sahaja, saya rasa teruja. Apatah lagi, saya memang sangat meminati penulisnya, Fatimah Syarha. Cuma berharga RM 12.00. Insya-Allah mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Saya yakin, tulisan dalam buku tersebut adalah kisah sebenar penulis bersama suami tercinta, Dr. Farhan Hadi. Tetapi, beliau dengan rendah hati menukar nama-nama watak dalam kisah tersebut kepada Qaniah dan Dr. Muslih. Seperti yang tercatat di helaian terawal buku tersebut;

“Usahlah ditanya sama ada kisah ini adalah kisah benar atau tidak. Ia bertujuan untuk menjaga hati penulis dan pembaca daripada perasaan yang tidak disukai Allah S.W.T seperti riyak dan cemburu. Ambillah apa yang baik dan sama-sama kita amalkan.”

Terlalu banyak yang ingin dikongsi. Tetapi, entry kali ini bukanlah untuk mengupas isu yang cuba disampaikan oleh penulis. Saya sekadar mahu mempromosikan sebuah buku yang mampu mendidik hati untuk meletakkan cinta kepada Allah dan Rasul di tangga teratas. Sebuah bingkisan yang sangat-sangat wajar dibaca oleh sesiapa sahaja yang benar-benar mahu memahami konsep sebenar ‘Cinta kerana Allah’.

Teringat kata-kata kakak tersayang…

"Jangan setakat membaca tapi cuba la menghayati, jangan setakat tahu tapi cuba la mengamalkan apa yang dah tahu, jangan setakat fikirkan kebaikan untuk diri sendiri tapi fikirkan la jugak kebaikan untuk orang lain terutama orang-orang terdekat yang disayangi."
Siapakah yang mampu menandingi kehebatan cinta Rabiatul Adawiyah kepada Allah?

“Ya Allah, tenggelamkan aku dalam kecintaan-Mu agar tiada satu pun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu. Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang memeranngi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”

Setelah sampai ke helaian yang terakhir, terasa air mata menitis di pipi. Syukur Ya Allah, masih ada masa untuk menginsafi kelemahan diri, masih ada peluang untuk meningkatkan iman di hati.
Saya sedar, pemilik cinta hati ini setelah Allah dan Rasul ialah satu-satunya lelaki bergelar suami. Redha Allah bagi seorang wanita yang telah berkahwin adalah bergantung kepada redha seorang suami ke atasnya. Alhamdulillah, sempat saya bermuhasabah diri.

Wahai diriku yang amat aku sayangi, teruslah bermujahadah! Kebahagiaan itu memerlukan pengorbanan. Pengorbanan seorang insan yang penuh dengan rasa kehambaan. Semoga ada keberkatan pada permulaannya, pada pertengahannya dan pada pengakhirannya. Amin Ya Rabbal Alamin…
“Ya Allah, teguhkan kekuatanku dengan adanya dia. Jadikan dia teman dalam urusanku agar kami banyak bertasbih kepada-Mu dan banyak mengingati-Mu.” [Taha: 31-34]

Baca dan hayatilah buku bertajuk ‘Pemilik Cintaku setelah Allah dan Rasul.’

SELAMAT MEMBACA!

Sunday, August 23, 2009

* Aura Ramadhan *


Dimulakan dengan kalimah suci
Bismillahirrahmanirrahim…
[Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang]


Syukur kepada Allah S.W.T yang menyampaikan kita pada Ramadhan kali ini. Secara peribadi, rasa syukur yang teramat kerana 1 Ramadhan tahun ini dapat disambut bersama ayah bonda tercinta. Satu kepuasan dapat menatap wajah-wajah tua ini;
Wajah-wajah tua yang terlalu banyak berjasa,
Wajah-wajah tua yang pernah digelar jejaka kacak dan wanita jelita,
Wajah-wajah tua yang dipuja dan dirindui setiap masa.
Kami memperuntukkan masa berkualiti bersama; bersahur bersama, memasak bersama, berbuka bersama, solat terawikh di masjid bersama. Berkongsi cerita suka, duka dan lucu sepanjang bergelar guru praktikum. Walaupun hanya untuk tempoh seminggu, tapi peluang bermanja ibarat anak tunggal memang best, hehe… Satu perasaan sempurna yang tidak terucap dengan kata, nilai kasih sayang yang tidak akan mampu dibeli oleh wang ringgit dan segala isi dunia.
[Alhamdulillah…~]


*Aura Ramadhan*


Alhamdulillah, aura Ramadhan datang lagi. Anda tentu bersetuju jika dikatakan bulan Ramadhan mempunyai aura tersendiri. Penghulu segala bulan ini cukup berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Siang menahan lapar dan dahaga. Malam melakukan solat sunat terawikh yang dapat mendekatkan lagi diri kepada Allah Yang Maha Esa. Telah dikhabarkan, ketika ini pintu Syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan semua syaitan dibelenggu. Pakej ini lebih istimewa kerana terdapat satu malam yang nilainya lebih baik daripada 1000 bulan. Ditambah lagi, janji Allah bahawa setiap amalan akan mendapat ganjaran yang berlipat-ganda, insyaAllah…~
Maksud firman Allah dalam hadis Qudsi:
"Selalulah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat, sehingga dia telah Kucintai. [Apabila dia telah AKU cintai], AKU lah yang menjadi telinganya untuknya mendengar, menjadi matanya untuk dia melihat dan menjadi lidahnya untuk dia berkata."


*Aura seorang insan*

Bagaimana pula konsep aura pada seseorang insan?

Ramai orang berbicara soal aura sekarang. Malah, ada yang sanggup membelanjakan sejumlah wang yang besar semata-mata untuk mendapatkan ‘aura’ yang diingini. Alhamdulillah, sejak kecil, saya dididik bahawa aura seseorang bukan terletak pada produk penjagaan diri yang berjenama, bukan terletak pada solekan tebal di wajah, bukan terletak pada pakaian mahal yang tersarung di tubuh dan bukan juga terletak pada segala perhiasan duniawi yang lain seperti wang ringgit yang bertimbun, rumah yang besar dan kereta yang mewah.


Ayah memberi nasihat dengan penuh hikmah:


“Jagalah Allah, pasti Allah akan menjaga kita. Jaga solat. Itu amalan paling asas dan paling penting dalam hubungan terus seorang hamba dengan Tuhannya. Solat yang sempurna akan dapat mencegah diri daripada perbuatan keji dan mungkar. Apabila memiliki hati yang bersih dan tulus ikhlas, secara automatik, aura diri seseorang itu akan terserlah, insyaAllah.”


*Konsep aura dalam Islam*


Persoalannya, wujudkah konsep aura dalam Islam? Jika wujud, bagaimana? Alhamdulillah, sedikit pembacaan bermanfaat yang ingin dikongsikan di sini.

Mari kita sama-sama hayati pandangan dari Dr. Muhammad bin Jantan, seorang perunding motivasi dan psikologi:


Konsep aura/cahaya atau dalam bahasa sainsnya, 'elektromagnetik' dilihat lebih dekat dengan ciri keislaman. Dalam kehidupan Islam, kita ada Allah S.W.T. Dalam al-Quran banyak disebut istilah ‘cahaya’ atau ‘nur’. Allah berfirman bahawa DIA lah yang memberi cahaya langit dan bumi.

Sebenarnya, bagi diri setiap Muslim itu telah ada cahaya pada tubuh mereka. Cahaya ini harus disuburkan dengan amal soleh serta kebersihan hati kepada Allah. Semakin tinggi keyakinan kepada Allah maka, semakin bergemerlapanlah cahaya itu menyinari seseorang. Mudah-mudahan cahaya yang bersumberkan Illahi ini akan menjana kekuatan fizikal, mental, emosi dan spiritual diri sendiri dan persekitarannya ke arah kehidupan yang mendapat keredhaan-Nya.


[Sumber: Majalah Mingguan Wanita, edisi Ogos 2009]


“Cahaya di atas cahaya. Allah memberi petunjuk kepada cahaya-Nya bagi sesiapa yang DIA kehendaki.” (an-Nur: 35)

Berbicara soal amal soleh, buat diriku yang mudah lupa, buat pembaca yang setia:
Semoga kita sama-sama merebut peluang di sepanjang 30 hari bulan Ramadhan yang mulia ini untuk memperbanyakkan amalan + memohon keampunan dan keredhaan + meminta penerimaan doa, hajat dan segala amalan + membersihkan hati dan pemikiran + memohon limpahan rezeki dan kesihatan + mengharap kesejahteraan hidup berpanjangan + meningkatkan keimanan dan rasa kehambaan + mendekatkan lagi diri kepada Tuhan, aminn….~


“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya.” [Fussilat: 8]


Tiga SMS dari tiga sahabat yang ingin saya kongsikan di sini. Shukran jazilan.


SMS 1:
“Salam. My name is Shaaban. I am advising you that my neighbor, Ramadhan, will be visiting you soon with his wife, “Rezeki” and two children, “Sahur and Iftaar”. They will be accompanied by 3 grandchildren; “Rahmat, Berkat and Taubat”. They will leave after 30 days by Eid airlines. Treasure them and you will be blessed. Ramadhan Mubarak!” – Suziela [21st August 2009, 20:48]
** *** ****

SMS 2:
“Sometimes, Allah breaks your spirit to save your soul, sometimes Allah breaks your heart to make you whole. Sometimes, Allah allows pain, so we can be strong. Sometimes, Allah sends us failure, so we can be humble. Sometimes, Allah allows illness so, we can take better care of ourselves. Sometimes, Allah takes everything away from us, so we can learn the value of everything HE gave us. Make plans but understand that we live by the grace of Allah. Ramadhan kareem! – Anonymous [international number]


SMS 3:
“Peluklah Ramadhan ini seerat mungkin, kerana tiba masanya kita terpaksa melepaskannya. Andai Ramadhan ini yang terakhir, moga ia yang terbaik di sisi-Nya. Selamat berpuasa. – Shimah, [22nd August 2009, 00:30]





Kepada semua sahabat di luar sana yang mengenali diri ini, ampun maaf dipinta untuk semua salah silap. Semoga aura Ramadhan ini dapat dirasai bersama. Ramadhan itu di awalnya keberkatan, di pertengahannya pengampunan dan di akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka. Semoga aura Ramadhan ini akan berkekalan untuk bulan-bulan seterusnya sehingga ke nafas yang terakhir, insyaAllah. Aminn…Ya Rabbal A'lamin~

Wednesday, July 29, 2009

* Pernikahan Aturan Tuhan *

Akhi Afzal & Ukhti Baiyah

Kak Nor : Adik khom sayang, tolong tempahkan kad kahwin untuk Kak Nor. Tarikh 4 Julai ni… Tolong tengok alamat rumah kawan-kawan Kak Nor dalam buku graduation TKC and then post kad-kad tu eh… Thank you.

NUR CaHaYa: Eh, ye ke ni? Tak lama dah tu… Sempat ke ni Kak Nor? Erm, ok2...insyaAllah.

**** **** **** **** **** **** ***

Dialog di atas adalah sebahagian daripada perbualan antara saya dan kakak tersayang yang membuat panggilan dari Melbourne. Memang agak mengejutkan dengan keputusan Kak Nor untuk berkahwin kerana beliau belum lagi mengikat tali pertunangan ketika itu.


Saya yakin, itulah perancangan Allah Yang Maha Kuasa. Apabila DIA berkata, “Jadilah!” Maka, terjadilah sesuatu itu. Alhamdulillah, segala urusan perkahwinan kakak dipermudahkan ALLAH walaupun semua persiapan dibuat dalam tempoh yang singkat. Memandangkan kakak terlalu sibuk bertugas di luar negara, beliau hanya pulang ke Malaysia beberapa hari sebelum hari perkahwinannya. Memang kebanyakan persiapan perkahwinan dibuat oleh saya bersama bonda tercinta sepanjang cuti semester sehingga ada yang menyangka anak bongsu ini yang akan berkahwin, hehe… [Ade plak? ;P]

Yes, this is an arranged marriage! Kakak sendiri mengakui, inilah pernikahan aturan Tuhan. Kalau zaman mak ayah kita 20- 30 tahun lepas, kisah perkahwinan yang diatur oleh ‘orang tengah’ adalah perkara biasa yang terjadi. Tetapi, dalam zaman moden hari ini, kisah sebegini mungkin ada 1 dalam 1000, hehe. Kakak yakin segala niat yang baik dan ikhlas akan dipermudahkan Allah kerana setiap amalan/ tindakan itu bermula dengan niat.

Saya teringat kata-kata penuh hikmah Kak Nor yang berjaya menyentuh hati saya.

“Adik, fahamilah erti sebenar perkahwinan dari kaca mata Islam. Perkahwinan itu bukan setakat untuk memuaskan kehendak naluri semulajadi manusia biasa yang ingin berteman. Perkahwinan bukan sekadar mengikut adat. Tetapi, perkahwinan itu adalah sunnah Rasulullah S.A.W yang berbentuk ibadat. Perkahwinan sejati adalah satu perkongsian dua jiwa yang berjanji untuk hidup bersama atas nama Allah. Rumah tangga Islam itu boleh menjadi ibadah sepanjang hayat kepada pasangan yang membinanya demi melengkapkan sebahagian daripada agamanya.
Sekarang, adik usahalah untuk membawa hubungan mengikut syariaat. Kita mengharapkan ketenangan, keberkatan dan keredhaan. Jangan ikut kebanyakan manusia sebab belum tentu yang nampak biasa itu adalah yang benar. Jangan hanya mahu mencari yang soleh tapi berusahalah menjadi yang solehah dahulu. Berdoakan selalu pohon kekuatan. Teruslah berjuang melawan kehendak nafsu. Pasti ada ganjaran dari Allah atas kesabaran kita nanti, insyaAllah."

Lembut kakak berkata-kata buat saya terharu. Kakak sudi berkongsi kisah perkenalan dan perkahwinannya di website ini:
Saya ingin berkongsi ucapan buat kakak tersayang beberapa jam sebelum majlis pernikahan berlangsung. Ucapan ini dipaparkan oleh abang ipar saya di laman web tersebut.

“Mungkin diri ini tidak pandai untuk berkata-kata. Inilah ucapan istimewa yang datang dari hati. Alhamdulillah, kesyukuran dan kegembiraan yang ingin dikongsi. InsyaAllah, beberapa jam lagi dua jiwa akan bersatu atas nama Allah. Semoga Akhi Afzal dapat menerima Ukhti Nor Baiyah seadanya sebagai isteri sejati, dan menerima kami sekeluarga seadanya sebagai keluarga baru.
Semoga Kak Nor terus berusaha mengejar impian untuk menjadi hamba Allah yang diredhai berlandaskan status diri sebagai seorang isteri yang diredhai suami, insyaAllah. Semoga rumah tangga yang dibina sentiasa mewah dengan mawaddah dan rahmah daripada Allah S.W.T, diserikan dengan kehadiran anak-anak yang comel dan soleh solehah. Semoga keberkatan ikatan pernikahan dan kasih sayang yang dibina ini kekal sehingga ke hujung nyawa, sehingga ke Syurga hendaknya, aminn Ya rabbal ‘Alamin….~
- Truly; Adik Khom

Suka untuk saya kongsikan wajah-wajah ceria kakak di hari bahagianya.
Ketibaan pengantin lelaki di rumah pengantin perempuan

Pasangan pengantin bersama keluarga pihak perempuan


Secara jujurnya, terasa terlalu sayang untuk melepaskan Kak Nor pergi, menunaikan komitmen baru sebagai seorang isteri. Kami terlalu rapat sejak kecil. Kami sentiasa berkongsi segala-galanya bersama sehingga dirasakan tiada rahsia antara kami.
Selain mak, Kak Nor juga adalah sumber inspirasi saya untuk terus memperbaiki diri menjadi gadis Muslimah sejati, insyaAllah.

Saya sempat interview pengantin baru di bilik pengantin yang dihias indah. Perbualan ini selepas seminggu kakak bergelar isteri. Kak Nor menggenggam erat tangan saya dan menjawab pertanyaan saya dengan penuh jujur.

NUR CaHaYa: Apa perasaan Kak Nor bila dah kahwin ni?

Kak Nor : No word can describe my feeling. Tiada perkataan untuk ceritakan kebahagiaan dan ketenangan hati sepanjang 7 hari ni. Kesyukuran yang teramat khom. Mungkin inilah ganjaran yang dijanjikan Allah atas perjuangan melawan nafsu selama ni, Alhamdulillah. Adik, kejarlah redha Allah untuk hidup yang singkat ni.
NUR CaHaYa: InsyaAllah Kak Nor... Doakan adik ye (^_^)

Sunday, June 28, 2009

* Bahasa Melayu Tinggi *


NUR CaHaYa: Ada apa-apa yang boleh enta komen tentang blog saya?
Anonymous: Gunalah Bahasa Melayu Tinggi.

Satu teguran jujur yang belum pernah saya terima sebelum ini. Komen yang terus memberi kesedaran memdalam di hati saya. Blog ini ditulis dalam dua bahasa; Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Saya lebih menekankan bahasa melayu kerana sasaran pembaca blog ini ialah orang-orang Melayu. Tambahan pula, sememangnya bahasa Melayu adalah bahasa ibunda yang telah saya kuasai sejak kecil. Walau bagaimanapun, sebagai bakal guru Bahasa Inggeris, saya tetap menyarankan orang-orang Melayu untuk banyak membaca dalam bahasa antarabangsa tersebut. Ini kerana kita perlu sedar dan akui akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama yang diterima dunia lebih-lebih lagi dalam era moden hari ini.


Saya 100% bersetuju dengan kata-kata ‘pelawat blog’ saya itu tadi. Saya faham apa yang dimaksudkan; sentiasa memastikan susunan ayat dan ejaan adalah menggunakan Bahasa Melayu tinggi yang sebenar. Saya sedar, penulisan di blog bukan sahaja dibaca oleh pembaca-pembaca yang dijangka oleh setiap penulis/blogger tapi juga dibaca oleh sesiapa sahaja yang secara sengaja atau tidak sengaja melawati blog berkenaan. Oleh itu, penulisan di setiap blog amat dinasihati untuk menggunakan Bahasa Melayu tinggi.


Mungkin blog ini dibaca oleh kanak-kanak yang sedang belajar Bahasa Melayu yang sebenar.

Mungkin blog ini dibaca oleh warga-warga asing yang sedang belajar bertutur dalam bahasa Melayu sebenar.
Mungkin blog ini dibaca oleh mereka yang cerdik pandai dalam pengkhususan Bahasa Melayu seperti tokoh-tokoh bahasa terkemuka yang sentiasa memperjuangkan bahasa Melayu sebenar.
Mulai sekarang, saya berazam… Walaupun, diri ini belajar bahasa Inggeris secara serius selama 6 tahun untuk mendapatkan ijazah pertama tapi secara jujurnya saya tetap cintakan Bahasa Melayu. Bagi saya, bahasa Melayu tinggi cukup indah…penuh maksud tersirat, penuh adab ketimuran, penuh nilai kesopanan.

Malah, saya sangat menghormati orang-orang Melayu yang memperjuangkan Bahasa Melayu. Contoh terdekat, sahabat seperjuangan saya, Hazwan Hamdan yang bakal bergelar guru Bahasa Inggeris tapi cukup puitis dengan kata-kata Bahasa Melayu penuh maksud tersirat. Beliau bijak menyusun kata untuk menonjolkan kelebihan penggunaan bahasa Melayu tinggi yang nampak unik, indah dan hebat.

Pembaca blog yang dirahmati Allah sekalian,


Maafkan saya…

Ini kesilapan diri saya sendiri

Ini kelemahan diri saya sendiri yang 'terlepas pandang' selama ini
Terima kasih kerana sudi membetulkan kesilapan ini

Saya menyeru kepada diri sendiri dan semua penulis blog di alam maya agar menggunakan Bahasa Melayu tinggi. Ya, mungkin kedengaran agak ‘kaku’ dan terlalu formal bila kita menggunakan bahasa melayu tinggi terutama bagi anak-anak muda. Hakikatnya, "bahasa itu jiwa bangsa." Saya percaya, gaya bahasa sama ada cara pertuturan atau corak penulisan adalah gambaran keperibadian seseorang. Juga pantulan kata hati dan pemikiran seseorang.

Kita bukan perlu menggunakan bahasa Melayu lama yang penuh maksud tersirat. Cukuplah membetulkan dan memastikan setiap ejaan dan susunan ayat agar mengangkat nilai bahasa Melayu ‘kelas pertama.’


Saya suka sangat dengan kata-kata “Tak akan Melayu hilang di dunia.”



Semoga kita semua bangga menjadi orang Melayu yang sama-sama sentiasa memperjuangkan bahasa Melayu Tinggi dalam penulisan mahupun pertuturan. InsyaAllah…~

Di mana bumi dipijak, tetap di situ langit dijunjung*


Waallahu ‘alam….

P/S: InsyaAllah, saya akan membetulkan setiap ejaan dan susunan ayat bagi setiap post dalam blog "Voice of NUR CaHaYa" ini sama ada menggunakan bahasa Melayu tinggi sepenuhnya atau bahasa Inggeris sepenuhnya. [Masih dalam proses dan saya mencari masa untuk tujuan itu]

Friday, June 5, 2009

* A Humble Pencil *

Bismillahirrahmanirrahim...~I used to read this message before.

However, when receiving the same message for the second time… I read it more attentively… more thoughtfully.

An appreciation goes to my dear friend, Khairiah in Sabah who had sent this valuable message to me via SMS.

I have decided to rewrite the message in this blog so that it can be shared with others who never received such message. Plus, I do hope it can continuously be as a reminder for me as well, insyaAllah...~

5 important lessons to learn from a humble pencil:

1) It tells you that everything you do will always leave a mark

2) You can always correct the mistakes u make

3) What is important is what is inside you and not outside of you

4) In life, you will undergo painful sharpening which will make you better in whatever you do and stronger in whatever you face

5) To be the best you can be, you must allow yourself to be held and guided by Allah.

*** ****** ***** ***** *****

“So, whoever does righteous good deeds while he is a believer (in Oneness of Allah), his efforts will not be rejected. Verily, We record it for him (in his Book of deeds).

“Barangsiapa mengerjakan kebajikan dan dia beriman, maka usahanya tidak akan ditolak (disia-siakan). Dan sesungguhnya, Kami lah yang mencatatkan untuknya (di dalam buku amalannya).
(al-Anbiya’: 94)
Pen off...

Friday, May 29, 2009

** Sirah Junjungan, Tahajjud Cinta **

Alhamdulillah, syukurlah hajat saya nak menonton teater tercapai. Walau niat tu dah lama ada, tapi mesti terfikir soal wang, masa dan teater apa yang patut ditonton. 27 Mac lepas, jam 8.30 malam, saya bersama 6 org sahabat yang lain dapat peluang tengok sebuah teater Islamic bercorak muzikal: “Sirah Junjungan, Tahajjud Cinta” arahan Erma Fatima.
Kali pertama menonton teater,

Kali pertama menjejakkan kaki ke Istana Budaya,

Kali pertama jugak jumpa Erma Fatima, Mawi dan Ekin [eh, ni pun nak bagitau ke, hehe]

Alhamdulillah, wang yang dilaburkan dan masa yang diperuntukkan untuk tujuan tu terasa berbaloi sebab kesannya sangat mendalam di jiwa. Jalan cerita yang mudah difahami + lakonan yang mantap + skrip yang hebat + muzik yang menyentuh perasaan + cara penyampaikan yang sistematik dan kreatif. Ditambah lagi dengan kemunculan istimewa Dato' Siti Nurhaliza, Mawi dan Amy (Search). Gabungan kesemua elemen-elemen menarik ni berjaya menarik minat penggemar-penggemar teater dan berjaya menitiskan air mata majority penonton-peontonn yang hadir termasuklah si penulis ini. (,")

Good job, well done! Usaha murni untuk mengangkat sejarah Islam dan junjungan mulia Rasulullah S.A.W ini perlu disokong 100% oleh semua pihak. Tahniah, Erma Fatima dan semua warga produksi yang terlibat dalam menjayakan teater ni.
Satu pembaharuan dalam arena teater di Malaysia telah berlaku.
Satu langkah berani untuk mengangkat sebuah kisah hebat dalam sejarah Islam telah bermula.
Satu 'nafas baru' dalam hiburan bermanfaat telah dipersembahkan di atas pentas bertaraf dunia.
Tentu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuh.
Teringat maksud sepotong ayat al-Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya DIA akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu."
(Muhammad: 7)
Semakin meningkat dewasa, semakin saya ingin bermuhasabah...~
Astagfirullah...
Dulu, belajar sirah junjungan sekadar untuk lulus exam...
Dulu, belajar sirah junjungan sebab takut ditanya oleh ustaz dalam kelas...
Dulu, belajar sirah junjungan tanpa 'roh', belajar kerana orang lain turut belajar...
Alhamdulillah, hiburan 'kelas pertama' dalam persembahan teater itu telah berjaya menghidupkan jiwa muda saya ini dengan sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W. Semoga paparan kisah baginda boleh dijadikan ikutan, contoh teladan... Dijadikan sumber motivasi dalaman... dijadikan semangat untuk terus berjuang, aminn...~

Teringat satu tazkirah;

“Untuk memahami Islam, kita bukan sahaja ada dua sumber utama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Tp, lebih menarik lagi kita juga ditinggalkan dengan sejarah Islam yang agung.”

*Peringatan utk diriku yang mudah lupa…

Alhamdulillah, saya semakin bersemangat dan berazam untuk lebih mengenali dan mencintai tokoh pejuang Islam yang agung ini; Nabi Muhammad S.A.W.

Kata orang, “Tak kenal, maka tak cinta”

Ingin terus berusaha mempelajari, memahami, menghayati dan cuba mencontohi bagaimana kehidupan Rasulullah setakat yang termampu. Sudah tentu tak semua mampu kita praktikkan dalam kehidupan harian kerana kita manusia biasa yang lemah imannya. Tapi, sekurang-kurangnya masih ada sedikit sunnah Rasullullah S.A.W dijadikan amalan, insyaAllah...

Biarlah sedikit asalkan ia berterusan,
Biarlah sedikit asalkan ia dilakukan ikhlas Lillahi Taala…

Jom, hayati lirik lagu nasyid tentang Rasulullah yang saya suka sgt ni.
Saya pernah perform lagu ni masa zaman sekolah dulu, hehe...~

Rasulullah dalam mengenangmu
Kami susuri lembaran sirahmu
Pahit getir perjuanganmu
Membawa cahaya kebenaran

Engkau taburkan pengorbananmu
Untuk umatmu yang tercinta
Biar terpakas tempuh derita
Cekalnya hatimu menempuh dugaan
Chorus:

Tak terjangkau tinggi pekertimu
Tidak tergambar indahnya akhlakmu
Tidak terbalas segala jasamu
Sesungguhnya engkau Rasul mulia
Tabahnya hatimu menempuh dugaan
Mengajar erti kesabaran
Menjulang panji kebenaran
Terukir namamu di dalam al-Quran

Rasulullah…
Kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami sanjung perjuanganmu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu
Walau kami dicaci dihina
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan Rasul sebagai pembela



Waallahu alam..
Jom, katakanlah...
"Ya Rasulullah, aku cinta padamu!"
Mari berselawat ke atas baginda...>>

Thursday, May 28, 2009

* Cerita 245 *


Masa zaman kanak-kanak dan alam remaja, tiap kali tiba my birthday biasanya, ada rezeki lebih, family akan buat majlis kecil-kecilan…Jemput kawan-kawan datang meraikan hari istimewa tu. Pakai baju cantik-cantik, makan best-best, dapat hadiah banyak-banyak... Lagi best bila tinggal di hostel, ada sahabat yang sudi buat a surprise birthday party. Rasa gembira + terharu sangat, Allah je yang tahu… Terime kasih kepada semua kawan-kawan tersayang =)




Mungkin anda juga ada pengalaman birthday party tersendiri yang sukar untuk dilupa.





Zaman celebrate birthday macam tu mungkin dah berlalu. My 23rd birthday tahun ni agak berbeza daripada sebelumnya. So, apa cerita birthday kali ni?



Ini al-kisahnya… [24 Mei 2009]

Segala puji bagi Allah S.W.T, alhamdulillah... 24 Mei lepas, genaplah 23 tahun saya menumpang di bumi Allah ini. Terima kasih banyak kepada teman-teman yangg tak lupa tarikh tu dan sudi send SMS to my mobile phones after 12 midnite. Maaf, sume birthday wishes hanya dibalas sebelum subuh sbb 'birthday girl' tidur awal plak malam tu, hehe… Mungkin jugak ada yang try call. Handset plak in silent mode.



Selepas selesai lady’s chores pagi tu, saye bersiap-siap untuk satu agenda penting. Saya mesti pergi ke sebuah masjid sebelum jam 10 pagi utk menemani seorang sahabat baik yang akan melangsungkan pernikahan. Seronok rasanya bila sahabat saya sejak tadika, Rosnani bt Abas memilih tarikh keramat 24 Mei untuk menamatkan zaman gadisnya. Selamat Pengantin Baru, Nani! Semoga menjadi isteri bijak yang solehah, kekal bahagia hingga ke Syurga, aminn…



After solat zuhur, kawan-kawan sekolah dulu ajak keluar ke bandar. Plan asal cuma nak minum ABC beramai-ramai. Sesekali lepak di gerai makan dengan kawan-kawan lama sambil bertukar-tukar cerita, seronok jugak. Satu kejutan bila Yoyo belikan sebiji birthday cake. Terharunya… Dan makan minum kami bertujuh hari tu dibelanja oleh Emma, a young nurse. Terima kasih Yoyo dan Emma. Smoga Allah murahkan rezeki korang berdua, aminn...~




Dulu, kalau mak tak nak buat birthday party, mesti merajuk. Ye la anak bongsu kan, haha… Tapi, sekarang bila dah meningkat dewasa, sambutan hari lahir tak dirasakan terlalu penting kerana definisi tarikh lahir dilihat daripada perspektif yang lebih matang, Alhamdulillah.



Ingin saya kongsi, kata-kata daripada kakak tersayang yang call dari Melbourne:



“Sanah Hilwah ya jamilah, Khom! [Hepy birthday to sweetie, Khom] Adik dah dewasa kan… lagi setahun umur meningkat, so lagi dekatlah dengan kematian. Hiduplah dengan positive dan optimist demi persediaan untuk sebuah kematian. Jangan nakal-nakal lagi tau...”
Shukran jazilan ya ukhti Nor baie,




Itulah Kak Nor, setiap kata-katanya pasti ada maksud tersirat... pasti ada sesuatu yang mengerah otak untuk berfikir... kata-kata yang bukan 'kosong'
Kata2 yg cukup terkesan pd jiwa, Alhamdulillah.



Semoga rasa gembira sambut birthday seiring dengan rasa insaf dlm jiwa. Hari lahir yang sempat disambut pada tahun ini mengingatkan lagi diri akan kematian. Setiap hari semua orang makin tua. Tiada siapa yang makin muda... Selangkah lagi kita menuju ke garis kematian.






Bukan untuk menakutkan tapi itulah hakikat kejadian yang mesti difikirkan.



Suka sangat dengan kata-kata hikmah yang pernah saya baca:



"Kita sentiasa MUDA untuk membuat DOSA tapi tak pernah merasa TUA untuk BERTAUBAT"



Monologue pada hari lahir ke-23:



Wahai diri,


Hidup ini perlukan mujahadah,


Teruslah berjuang dengan pasrah,


Bangkitlah semula setiap kali rebah,


Pengorbanan itu memang susah, memang payah,


Jangan undur ke belakang, teruslah maju melangkah!



Ya Allah,


Moga masih ada peluang utk aku berubah,


Hadirlah di sisiku setiap kali kuterasa lelah,


Kerana aku yakin segalanya bukanlah mudah,


Untuk aku terpilih menjadi penghuni Syurga-Mu nan indah...~!



Amin... amin Ya Rabbal 'Alamin (^_^)

Wednesday, May 20, 2009

Quality Vs Quantity


A : Nanti dah kahwin, nak berapa orang anak?

Me: Erm, ikut la berapa rezeki Allah nak kurniakan, saya terima je…
A: Hi, tak kan tak pernah berangan kot..nak family besar mana?
Me: Hehe... tak kisah la besar mana. Yang penting quality, bukannya quantity. Lagipun, bukan senang nak didik anak zaman sekarang ni kan...
A: Betul-betul, setuju... Tapi, terus doa dan usaha la dapat buat yang terbaik. Awak boleh, insyaAllah~
Me: Amin... ;)


* * * * * * * * * * * * * *

Assalamualaikum w.b.t
Dialog di atas sekadar mukaddimah untuk entry kali ni. Beberapa orang sahabat asyik bertanya;
kenapa saya tak update blog?
bila nak update blog?
tak ada story baru nak share ke?
I realize, having a blog is a decision... being a blogger is a commitment. I'm sorry to all my respected readers... Saya minta maaf kepada semua followers blog yang tak seberapa ni. Selain alasan biasa; busy dengan commitment lain, saya juga berpegang pada prinsip tadi; it’s all about the quality and not the quantity. Bukan mudah hendak berkongsi sesuatu yang bermanfaat untuk semua pembaca yang budiman dan bukan senang juga untuk menyentuh hati manusia lain melalui penulisan. Basically, those are the two primary aims of creating this blog.
Kakak pesan, jangan menulis ikut syok sndiri... jangan hanya pandai berkata tapi buktikanlah apa yang diperkata. Menulis apa yang orang suka baca, mahu baca dan perlu baca!

Setiap manusia dikurniakn tempoh masa yang sama; 24 jam sehari. Saya dengan rendah hati berdoa semoga masa saya menulis untuk blog ini tidak sia-sia dan masa anda membaca di blog ini juga tidak sia-sia.... I really wish that u will gain something beneficial for spending your precious time to visit this page, insyaAllah…aminn~
“Katakanlah (Muhammad), “Apakah perlu Kami bagitahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu orang-orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya.
Mereka itu adalah orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya) akan pertemuan dengan-Nya. Maka, sia-sia amal mereka dan Kami tidak memberikan penimbangan terhadap (amal) mereka pada Hari Kiamat.”
(al-Kahfi: 103-105)

Saya tidak mahu anda di sini sekadar membaca ayat demi ayat tapi saya mahu anda memahami + menghayati. Boleh kan? =)

Terima kasih atas sokongan semua!
Semoga diri ini kekal dengan prinsip; "Tak hidup dek puji, tak mati dek keji"

Segala komen-komen membina saya terima dengan hati terbuka, tenang dan syukur… Dengan penuh sedar mengakui kelemahan diri yang tidak sempurna.
Segala puji-pujian dikembalikan kepada Allah S.W.T. Saya ini hanya insan biasa.


Betulkan niat, ikhlaskan hati, hanya redha Allah yang dicari*
amin Ya Rabbal Alaminn…~=)

Monday, January 26, 2009

* 10 Tips Bijak Urus Kewangan Sendiri *

"Psstt... duit elaun kte dah masuk!" seorang sahabat baik berbisik di telinga saya semasa kelas Second Language Acquisition (SLA) hari tu.
"Alhamdulillah..." jawab saya ringkas dengan rasa bahagia di hati.
Penumpuan kepada lecturer, Madam Noorzaina dikembalikan.
*** **** **** *** **** **** ***
Alhamdulillah, sesuatu yang dinanti dari BPG tercinta masuk juga ke akaun kami, bakal2 teachers ni, yeay! Opss...satu kesyukuran yang teramat sebenarnya sebab ramai yang complain atas kelewatannya sebelum ini. Apapun, ingatan kepada diri dan kawan-kawan...duit yang banyak itu perlulah diuruskan dengan bijak supaya cukup untuk tempoh 4 bulan akan datang. Elok jugak kalau ada sedikit peruntukan untuk menyimpan. Tergerak hati untuk bercakap soal "wang" dalam entry kali ni.
Tidak dapat dinafikan, wang dan kebahagiaan saling berkait rapat. Tanpa kedudukan kewangan yang stabil, hati pun jadi kurang tenang, betul tak?
Tapi, wang bukanlah segala-galanya. Wang juga tidak dapat membeli kebahagiaan. Contoh mudah, kenapa Prince Charles yang kaya-raya dan Mendiang Lady Diana yang cantik jelita akhirnya bercerai juga? Tentulah bukan persoalan duit yang jadi punca konflik. Jelas, wang ringgit hanyalah faktor tambahan untuk meningkatkan ketenangan hati dan kerukunan hidup di dunia yang singkat ini. Dalam dunia moden hari ini, semuanya perlukan wang.

Jadi, teruslah berusaha dengan cara yang halal serta berdoa dan bertawakkal dengan bersungguh-sungguh kepada Allah S.W.T agar rezeki kita yang dikurniakan oleh-Nya sentiasa cukup tanpa perlu meminta-minta kepada orang lain. Lebih baik juga jika kelebihan rezeki yang ada mampu dikongsi dengan mereka yang lebih memerlukan sebagai tanda syukur atas kurniaan-NYA kerana sebenarnya dalam setiap rezeki kita tetap ada hak orang lain juga.
Ingatan ini untuk diri sendiri juga. Kadang-kadang terasa 'berat' untuk menghulur tapi sebenarnya, rezeki yang ada di tangan bukanlah hak mutlak diri kita. Itu semya tidak akan dapat ikut bersama ke alam barzakh melainkan sedeqah yang dilakukan dengan ikhlas atas nama Allah S.W.T. Maksud ayat al-Quran di bawah mengingatkan saya...Alhamduillah, Allah masih sudi memberi "cahaya"
"Wahai orang-orang yang beriman! Infakkanlah sebahagian dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari ketika tidak ada lagi jual-beli, tidak ada lagi persahabatan dan tidak ada lagi syafaat. Orang-orang yang kafir itulah orang-orang yang zalim."
(al-Baqarah: 254)
"Maka, bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah; dan infakkanlah harta yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa dijaga dirinya dari kekikiran, mereka itulah orang-orang yang beruntung."
(at-Taghabun: 16)


Jom, belajar teknik ringkas pengurusan kewangan di bawah yang diperoleh daripada pelbagai sumber bacaan tapi telah diubah suai untuk kesesuaian diri sendiri dan the target audience of this blog, hehe... Apepun, cuba kita sama-sama amalkan, insyaAllah:

1- Kenalpasti KEPERLUAN Vs KEMAHUAN. Mesti sentiasa mengutamakan keperluan dalam berbelanja. Bak kata pepatah, “Ukur baju di badan sendiri.”
- Contoh: Makan adalah satu keperluan. Tapi, makan di tempat-tempat mewah adalah kemahuan yang perlu dipertimbangkan sebaiknya mengikut kemampuan.


2- Sediakan peruntukan untuk “emergency buffer” (akaun kecemasan). Mesti sentiasa pandang jauh ke hadapan dan bersedia untuk sebarang kemungkinan.

-Contoh: Asingkan beberapa peratus wang gaji/ pinjaman PTPTN/ biasiswa/ sumber lain untuk tabungan atau simpanan tetap.


3- Buat keputusan bagaimana wang PATUT dibelanjakan dari awal lagi. Kawal diri secara psychology.
- Contoh: Sentiasa bersikap rasional dan bukan emosional. Lantik seseorang yang dipercayai untuk mengingatkan kita dalam hal ini. Elok juga kalau merekod aliran wang masuk (credit) dan aliran wang keluar (debit) untuk meningkatkan kesedaran betapa pentingnya wang itu!


4- Fokus pada matlamat kewangan jangka pendek dan jangka panjang. Letakkan keazaman yang tinggi dalam minda dan jiwa akan sesuatu yang realistik untuk dicapai dalam tempoh masa yang praktikal.

- Contoh: Matlamat jangka pendek ialah mesti membeli sebuah tafsir al-Quran berharga RM 45 bulan ini dan matlamat jangka panjang ialah mesti menyimpan at least RM 12000 untuk menunaikan ibadah haji dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

5- Kenalpasti “kebocoran” dalam corak perbelanjaan dan jangan ulangi lagi kebocoran tersebut. Elakkan membeli barang yang kurang penting atau barang yang masih elok.

- Contoh: Membeli handphone baru hanya kerana mengikut trend sedangkan handphone yang sedia ada masih elok untuk digunakan. Tujuan sebenar handphone ialah untuk berhubung dengan orang lain bukan ada tujuan lain yang tidak sepatutnya.


6- Rancang kewangan mengikut pendapatan sekarang bukan pendapatan ramalan.
- Contoh: Jangan berangan-angan dengan bonus yang akan dapat bulan depan tapi uruslah budget yang sedia ada.


7- Ingatkan diri akan kepentingan berbelanja secara berhemah untuk kebaikan diri sendiri dan menjamin keteguhan hubungan kasih sayang bersama keluarga dan lain-lain.
- Contoh: Wang yang cukup dan berkat sangat diperlukan untuk kelangsungan kehidupan dan wang juga diperlukan untuk membantu dan menggembirakan hati saudara2 terdekat serta orang2 yang tersayang agar ikatan silaturrahim dapat diteguhkan.


8- Sesuaikan dengan perubahan semasa atau keluarga.

- Contoh: Pilih tempat berbelanja yang menawarkan harga yang lebih rendah dan jika ahli keluarga bertambah, activity makan ‘di luar’ perlu dikurangkan. Atau jika banyak buku-buku rujukan yang perlu dibeli dalam semester ini, activity keluar ber'shopping' harus dikurangkan.

9- Sesuaikan dengan perubahan gaji/ wang pinjaman/ biasiswa.
- Contoh: Jika perubahan itu adalah positif (e.g: gaji naik), corak perbelanjaan boleh ditingkatkan sedikit asalkan tidak menggangu keperluan. Sebaliknya, perubahan yang negative (e.g: gaji turun) memaksa diri untuk mengurangkan perbelanjaan demi keselesaan hidup.


10- Sediakan ruang harapan untuk sistem simpanan serta pelaburan yang sistematik dan menguntungkan.
- Contoh: Buat kajian dan pilih agensi insurans yang terbaik dan boleh dipercayai untuk melabur wang anda ke jalan yang halal dan diredhai.

" Barangsiapa yang meminjami Allah dengan pinjaman yang baik, maka Allah melipat gandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan."

(a-Baqarah: 245)

Ok, that's all that i wanna share... Have fun! =)