Sunday, June 28, 2009

* Bahasa Melayu Tinggi *


NUR CaHaYa: Ada apa-apa yang boleh enta komen tentang blog saya?
Anonymous: Gunalah Bahasa Melayu Tinggi.

Satu teguran jujur yang belum pernah saya terima sebelum ini. Komen yang terus memberi kesedaran memdalam di hati saya. Blog ini ditulis dalam dua bahasa; Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Saya lebih menekankan bahasa melayu kerana sasaran pembaca blog ini ialah orang-orang Melayu. Tambahan pula, sememangnya bahasa Melayu adalah bahasa ibunda yang telah saya kuasai sejak kecil. Walau bagaimanapun, sebagai bakal guru Bahasa Inggeris, saya tetap menyarankan orang-orang Melayu untuk banyak membaca dalam bahasa antarabangsa tersebut. Ini kerana kita perlu sedar dan akui akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama yang diterima dunia lebih-lebih lagi dalam era moden hari ini.


Saya 100% bersetuju dengan kata-kata ‘pelawat blog’ saya itu tadi. Saya faham apa yang dimaksudkan; sentiasa memastikan susunan ayat dan ejaan adalah menggunakan Bahasa Melayu tinggi yang sebenar. Saya sedar, penulisan di blog bukan sahaja dibaca oleh pembaca-pembaca yang dijangka oleh setiap penulis/blogger tapi juga dibaca oleh sesiapa sahaja yang secara sengaja atau tidak sengaja melawati blog berkenaan. Oleh itu, penulisan di setiap blog amat dinasihati untuk menggunakan Bahasa Melayu tinggi.


Mungkin blog ini dibaca oleh kanak-kanak yang sedang belajar Bahasa Melayu yang sebenar.

Mungkin blog ini dibaca oleh warga-warga asing yang sedang belajar bertutur dalam bahasa Melayu sebenar.
Mungkin blog ini dibaca oleh mereka yang cerdik pandai dalam pengkhususan Bahasa Melayu seperti tokoh-tokoh bahasa terkemuka yang sentiasa memperjuangkan bahasa Melayu sebenar.
Mulai sekarang, saya berazam… Walaupun, diri ini belajar bahasa Inggeris secara serius selama 6 tahun untuk mendapatkan ijazah pertama tapi secara jujurnya saya tetap cintakan Bahasa Melayu. Bagi saya, bahasa Melayu tinggi cukup indah…penuh maksud tersirat, penuh adab ketimuran, penuh nilai kesopanan.

Malah, saya sangat menghormati orang-orang Melayu yang memperjuangkan Bahasa Melayu. Contoh terdekat, sahabat seperjuangan saya, Hazwan Hamdan yang bakal bergelar guru Bahasa Inggeris tapi cukup puitis dengan kata-kata Bahasa Melayu penuh maksud tersirat. Beliau bijak menyusun kata untuk menonjolkan kelebihan penggunaan bahasa Melayu tinggi yang nampak unik, indah dan hebat.

Pembaca blog yang dirahmati Allah sekalian,


Maafkan saya…

Ini kesilapan diri saya sendiri

Ini kelemahan diri saya sendiri yang 'terlepas pandang' selama ini
Terima kasih kerana sudi membetulkan kesilapan ini

Saya menyeru kepada diri sendiri dan semua penulis blog di alam maya agar menggunakan Bahasa Melayu tinggi. Ya, mungkin kedengaran agak ‘kaku’ dan terlalu formal bila kita menggunakan bahasa melayu tinggi terutama bagi anak-anak muda. Hakikatnya, "bahasa itu jiwa bangsa." Saya percaya, gaya bahasa sama ada cara pertuturan atau corak penulisan adalah gambaran keperibadian seseorang. Juga pantulan kata hati dan pemikiran seseorang.

Kita bukan perlu menggunakan bahasa Melayu lama yang penuh maksud tersirat. Cukuplah membetulkan dan memastikan setiap ejaan dan susunan ayat agar mengangkat nilai bahasa Melayu ‘kelas pertama.’


Saya suka sangat dengan kata-kata “Tak akan Melayu hilang di dunia.”



Semoga kita semua bangga menjadi orang Melayu yang sama-sama sentiasa memperjuangkan bahasa Melayu Tinggi dalam penulisan mahupun pertuturan. InsyaAllah…~

Di mana bumi dipijak, tetap di situ langit dijunjung*


Waallahu ‘alam….

P/S: InsyaAllah, saya akan membetulkan setiap ejaan dan susunan ayat bagi setiap post dalam blog "Voice of NUR CaHaYa" ini sama ada menggunakan bahasa Melayu tinggi sepenuhnya atau bahasa Inggeris sepenuhnya. [Masih dalam proses dan saya mencari masa untuk tujuan itu]

3 comments:

h+A>z(w)=@xN said...

tenangkan diri.
kadangkala, komentar sepatutnya membina dan tidak salahnya menggunakan apa-apa bahasa sekalipun. cuma, jika ingin mengelakkan kontroversi dan meningkatkan prestasi, gunalah salah satu bahasa. jika bahasa melayu, bahasa melayu lah. jika inggeris pilihan anda, pastikan ia 100% dikarang menggunakan bahasa tersebut :-)

Nurkhomsiah Mohamed Bakrim said...

alhamdulillah, diri sentiasa tenang dalam apa keadaan pun =)

bahasa melayu cukup sopan untuk diketengahkan di alam maya
bahasa inggeris cukup penting dalam era globalisasi sekarang ini

cuma, kelemahan saya untuk mengaplikasikan bahasa melayu tinggi dalam penulisan blog

apapun, terima kasih atas komentar semua =)

Anonymous said...

perlu memeriksa:)