Saturday, October 8, 2011

* Aidilfitri di Aussie *

Hello, assalamualaikum...

Melihat kepada tajuk, mungkin terasa akan kelewatan entry in.

Ya, tempoh meyambut Aidilfitri hanya pada bulan Syawal. Tetapi, tempoh memohon kemaafan adalah berterusan sepanjang hayat.

Itu adalah tujuan utama article ini ditulis.

Seronok rasanya melihat gambar-gambar raya kawan-kawan di Facebook. Tentu setiap orang ada cerita raya yang tersendiri. Begitu juga dengan saya. Alhamdulillah..Shukran Ya Rabb.

Syawal kali ini sangat bermakna..

Syawal kali ini sangat berbeza..

Sangat bermakna kerana ini kali pertama saya beraya sebagai seorang isteri bersama suami tercinta.

Dan sangat berbeza kerana ini kali pertama saya beraya di luar Malaysia.

Kebanyakan saudara-mara dan rakan-rakan terdekat yang tahu bahawa kami akan menyambut Lebaran selama seminggu di Melbourne, Australia telah memberi respond yang hampir sama:

“Wow, bestnyer!”

Ironinya, mungkin ramai yang tidak tahu akan cabaran dan dugaan yang terpaksa kami lalui sebelum impian itu menjadi kenyataan.


Meminjam kata-kata hikmah yang pernah saya dengar:

“Tanpa keberanian dan kesungguhan, impian tak akan jadi nyata.”


Bermula dengan kes kehilangan buku passport pada saat-saat akhir, kesukaran mendapat cuti sehinggalah tiba lewat di lapangan terbang.

Saya mengambil sedikit masa untuk duduk melakukan muhasabah diri.

Sebenarnya, jika dilihat dari sudut positif..satu-persatu cabaran yang ditentukan oleh Allah dalam kehidupan seharian kita ini benar-benar mengandungi hikmah yang tidak ternilai harganya.

Di situ, Allah menguji tahap keimanan dalam jiwa hamba-Nya

Di situ, Allah menguji tahap kesabaran dalam jiwa hamba-Nya

Di situ, Allah menguji sejauh mana usaha dan tawakkal hamba-Nya

Lebih jauh daripada itu, Allah Yang Maha Bijaksana secara halus mengajak hamba-Nya mendekatkan lagi diri kepada-Nya.


Yakinlah dengan maksud firman Allah S.W.T:

“Maka, sesungguhnya bersama kesulitan, ada kemudahan. Sesungguhnya, bersama kesulitan ada kemudahan.” (al-Insyirah: 4-5)


Ternyata, impian yang besar memerlukan usaha yang besar...memerlukan tawakkal yang besar.

Bertepatan dengan satu ayat al-Quran yang bermaksud:

“Katakanlah, Dialah Allah Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu.” (al-Ikhlas: 1-2)


Alhamdulillah..rezeki berpihak kepada kami dan telah tertulis di Lauh Mahfuz bahawa pemergian kami ke bumi Kangaroo itu untuk menyambut Aidilfitri diizinkan oleh-Nya.

Shukran Ya Allah!




Kepada semua pembaca yang mengenali diri ini..

Saya dengan penuh rendah hati memohon kemaafan kepada semua atas segala salah dan silap saya sama ada melalui tutur kata mahupun tingkah laku.

Saya juga dengan seikhlas hati memaafkan segala kesalahan anda semua kepada saya kerana kita semua sama sahaja.


Sejenak bermuhasabah diri...

Jika sedar diri ini hamba, maka tiada satu pun yang boleh dibangga kerana segala yang berlaku adalah atas izin dari-Nya.


“Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan dengan bersyukur” (ad-Duha: 11)