Sunday, August 23, 2009

* Aura Ramadhan *


Dimulakan dengan kalimah suci
Bismillahirrahmanirrahim…
[Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang]


Syukur kepada Allah S.W.T yang menyampaikan kita pada Ramadhan kali ini. Secara peribadi, rasa syukur yang teramat kerana 1 Ramadhan tahun ini dapat disambut bersama ayah bonda tercinta. Satu kepuasan dapat menatap wajah-wajah tua ini;
Wajah-wajah tua yang terlalu banyak berjasa,
Wajah-wajah tua yang pernah digelar jejaka kacak dan wanita jelita,
Wajah-wajah tua yang dipuja dan dirindui setiap masa.
Kami memperuntukkan masa berkualiti bersama; bersahur bersama, memasak bersama, berbuka bersama, solat terawikh di masjid bersama. Berkongsi cerita suka, duka dan lucu sepanjang bergelar guru praktikum. Walaupun hanya untuk tempoh seminggu, tapi peluang bermanja ibarat anak tunggal memang best, hehe… Satu perasaan sempurna yang tidak terucap dengan kata, nilai kasih sayang yang tidak akan mampu dibeli oleh wang ringgit dan segala isi dunia.
[Alhamdulillah…~]


*Aura Ramadhan*


Alhamdulillah, aura Ramadhan datang lagi. Anda tentu bersetuju jika dikatakan bulan Ramadhan mempunyai aura tersendiri. Penghulu segala bulan ini cukup berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Siang menahan lapar dan dahaga. Malam melakukan solat sunat terawikh yang dapat mendekatkan lagi diri kepada Allah Yang Maha Esa. Telah dikhabarkan, ketika ini pintu Syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan semua syaitan dibelenggu. Pakej ini lebih istimewa kerana terdapat satu malam yang nilainya lebih baik daripada 1000 bulan. Ditambah lagi, janji Allah bahawa setiap amalan akan mendapat ganjaran yang berlipat-ganda, insyaAllah…~
Maksud firman Allah dalam hadis Qudsi:
"Selalulah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat, sehingga dia telah Kucintai. [Apabila dia telah AKU cintai], AKU lah yang menjadi telinganya untuknya mendengar, menjadi matanya untuk dia melihat dan menjadi lidahnya untuk dia berkata."


*Aura seorang insan*

Bagaimana pula konsep aura pada seseorang insan?

Ramai orang berbicara soal aura sekarang. Malah, ada yang sanggup membelanjakan sejumlah wang yang besar semata-mata untuk mendapatkan ‘aura’ yang diingini. Alhamdulillah, sejak kecil, saya dididik bahawa aura seseorang bukan terletak pada produk penjagaan diri yang berjenama, bukan terletak pada solekan tebal di wajah, bukan terletak pada pakaian mahal yang tersarung di tubuh dan bukan juga terletak pada segala perhiasan duniawi yang lain seperti wang ringgit yang bertimbun, rumah yang besar dan kereta yang mewah.


Ayah memberi nasihat dengan penuh hikmah:


“Jagalah Allah, pasti Allah akan menjaga kita. Jaga solat. Itu amalan paling asas dan paling penting dalam hubungan terus seorang hamba dengan Tuhannya. Solat yang sempurna akan dapat mencegah diri daripada perbuatan keji dan mungkar. Apabila memiliki hati yang bersih dan tulus ikhlas, secara automatik, aura diri seseorang itu akan terserlah, insyaAllah.”


*Konsep aura dalam Islam*


Persoalannya, wujudkah konsep aura dalam Islam? Jika wujud, bagaimana? Alhamdulillah, sedikit pembacaan bermanfaat yang ingin dikongsikan di sini.

Mari kita sama-sama hayati pandangan dari Dr. Muhammad bin Jantan, seorang perunding motivasi dan psikologi:


Konsep aura/cahaya atau dalam bahasa sainsnya, 'elektromagnetik' dilihat lebih dekat dengan ciri keislaman. Dalam kehidupan Islam, kita ada Allah S.W.T. Dalam al-Quran banyak disebut istilah ‘cahaya’ atau ‘nur’. Allah berfirman bahawa DIA lah yang memberi cahaya langit dan bumi.

Sebenarnya, bagi diri setiap Muslim itu telah ada cahaya pada tubuh mereka. Cahaya ini harus disuburkan dengan amal soleh serta kebersihan hati kepada Allah. Semakin tinggi keyakinan kepada Allah maka, semakin bergemerlapanlah cahaya itu menyinari seseorang. Mudah-mudahan cahaya yang bersumberkan Illahi ini akan menjana kekuatan fizikal, mental, emosi dan spiritual diri sendiri dan persekitarannya ke arah kehidupan yang mendapat keredhaan-Nya.


[Sumber: Majalah Mingguan Wanita, edisi Ogos 2009]


“Cahaya di atas cahaya. Allah memberi petunjuk kepada cahaya-Nya bagi sesiapa yang DIA kehendaki.” (an-Nur: 35)

Berbicara soal amal soleh, buat diriku yang mudah lupa, buat pembaca yang setia:
Semoga kita sama-sama merebut peluang di sepanjang 30 hari bulan Ramadhan yang mulia ini untuk memperbanyakkan amalan + memohon keampunan dan keredhaan + meminta penerimaan doa, hajat dan segala amalan + membersihkan hati dan pemikiran + memohon limpahan rezeki dan kesihatan + mengharap kesejahteraan hidup berpanjangan + meningkatkan keimanan dan rasa kehambaan + mendekatkan lagi diri kepada Tuhan, aminn….~


“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya.” [Fussilat: 8]


Tiga SMS dari tiga sahabat yang ingin saya kongsikan di sini. Shukran jazilan.


SMS 1:
“Salam. My name is Shaaban. I am advising you that my neighbor, Ramadhan, will be visiting you soon with his wife, “Rezeki” and two children, “Sahur and Iftaar”. They will be accompanied by 3 grandchildren; “Rahmat, Berkat and Taubat”. They will leave after 30 days by Eid airlines. Treasure them and you will be blessed. Ramadhan Mubarak!” – Suziela [21st August 2009, 20:48]
** *** ****

SMS 2:
“Sometimes, Allah breaks your spirit to save your soul, sometimes Allah breaks your heart to make you whole. Sometimes, Allah allows pain, so we can be strong. Sometimes, Allah sends us failure, so we can be humble. Sometimes, Allah allows illness so, we can take better care of ourselves. Sometimes, Allah takes everything away from us, so we can learn the value of everything HE gave us. Make plans but understand that we live by the grace of Allah. Ramadhan kareem! – Anonymous [international number]


SMS 3:
“Peluklah Ramadhan ini seerat mungkin, kerana tiba masanya kita terpaksa melepaskannya. Andai Ramadhan ini yang terakhir, moga ia yang terbaik di sisi-Nya. Selamat berpuasa. – Shimah, [22nd August 2009, 00:30]





Kepada semua sahabat di luar sana yang mengenali diri ini, ampun maaf dipinta untuk semua salah silap. Semoga aura Ramadhan ini dapat dirasai bersama. Ramadhan itu di awalnya keberkatan, di pertengahannya pengampunan dan di akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka. Semoga aura Ramadhan ini akan berkekalan untuk bulan-bulan seterusnya sehingga ke nafas yang terakhir, insyaAllah. Aminn…Ya Rabbal A'lamin~

4 comments:

.:DeXmA:. said...

salam kak khomsiah..
Selamat Menyambut Ramadhan =)

h+A>z(w)=@xN said...

slm ramadhan...
smoga ramadhan kali ini dipenuhi dengan penuh erti

MOHD ZUHAIRI BIN SAFUAN said...

Banyak peringatan dalam blog ni terima kasih.

MOHD ZUHAIRI BIN SAFUAN said...

Blog ni banyak ingatan kepada yang lupa