Sunday, August 22, 2010

* Cikgu Baru.. Cikgu Muda *

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum kepada pembaca yang sudi singgah di sini..

Terasa rindu untuk menulis. Busy.. Satu alasan yang terlalu biasa kita dengar. Setiap orang dikurniakan tempoh masa yang sama. Tapi, setiap orang mungkin mempunyai komitmen yang berbeza. Terpulang kepada setiap individu bagaimana 24 jam sehari itu dihabiskan.

Alhamdulillah, Allah telah memberi ruang dan peluang kepada saya untuk menulis. Kali ini, saya ingin berkongsi tentang 'cikgu'. Semoga ada manfaat buat kita di sini, insyaAllah. Amin..



Pelajar A : Assalamualaikum kak.

Pelajar B: Hey, ni cikgu baru la.

Pelajar C: Ustazah kot.

Pelajar D: Eh, ni Teacher la.

NUR CaHaYa: Waalaikumussalam..(^_^)


Tersenyum saya sendirian apabila teringatkan teguran daripada sekumpulan pelajar perempuan tersebut. Terasa segan pun ada. Saya memang agak lambat dikenali mungkin kerana saya tidak diperkenalkan di perhimpunan rasmi pada hari Isnin atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Tambahan pula, saya tidak memakai 'name tag' sepanjang minggu pertama di sekolah. Mungkin ketika itu saya sedang mengalami konflik identiti, hehe. Setiap kali ditegur dan diberi salam oleh para pelajar, barulah betul-betul terasa yang diri ini telah menjadi seorang tenaga pengajar, bukan lagi pelajar. Saya perlu sedar setiap penampilan diri, tutur kata dan perlakuan diperhatikan dan mudah menjadi ikutan. Seorang guru senior pernah menasihati:

"You don't have to be somebody else.. Just be yourself.. It's time for you to adapt with the new environment. You may need some time for that. Good luck!"


Ingin saya mengingatkan diri sendiri, tiada apa yang boleh dibangga apabila masih dipanggil ‘cikgu’ walaupun di luar waktu sekolah atau selepas bersara. Teringat kata-kata hikmah:

“Setiap insan bermula daripada air mani yang hina. Seorang insan itu menjadi mulia kerana rahmat dari Tuhannya. Allah telah menutup keaiban dirinya. Allah telah meminjamkan sedikit kelebihan kepada dirinya. Maka, kerana Islam lah dia dipandang mulia. Kerana itu dia menjadi insan yang disayangi dan dihargai oleh semua.”

Secara peribadi, walaupun saya meminati subject Bahasa Inggeris sejak di sekolah rendah, tapi profession perguruan bukanlah kerjaya pilihan pertama. Ketika itu, skop pekerjaan yang berkaitan Bahasa Inggeris begitu luas dalam minda saya. Saya kagum melihat anak-anak Melayu yang mampu bertutur dalam bahasa antarabangsa itu dengan baik tapi dalam masa yang sama masih mengekalkan ciri-ciri ketimuran dan keislaman dalam diri.

Inilah yang dikatakan takdir. Ayah mahu melihat puteri bongsunya ini bergelar pendidik. Mungkin beliau mahu saya cuba mengubah mindset kebanyakan pelajar terutamanya di luar bandar yang menganggap Bahasa Inggeris adalah subject yang terlalu sukar atau 'killer subject'. Syukurlah, hari ini doa dan impian ayahanda dan bonda tercinta telah dimakbulkan Allah. Alhamdulillah, saya telah mula bertugas sebagai seorang guru sejak 19 Julai lalu.

Alhamdulillah, sepanjang 6 tahun dilatih menjadi guru di IPG dan Universiti, minat dan cinta kepada bidang pendidikan semakin bercambah. Kini, setelah lebih sebulan bergelar ‘Teacher’, tidak dinafikan kerjaya ini memberi cabaran yang tersendiri. Mungkin benar jika ramai yang memilih kerjaya guru kerana bekerja separuh hari dan mendapat banyak cuti mengikut jadual persekolahan. Walau bagaimanapun, kerjaya ini tidaklah semudah yang disangka. Hanya mereka yang terlibat dalam bidang ini tahu realiti seorang guru. Hakikatnya, guru juga dibebankan dengan pelbagai masalah disiplin dan sikap pelajar yang perlu difikirkan. Selain itu, guru juga diamanahkan untuk menguruskan pelbagai perkara yang berkaitan seperti kedatangan pelajar, yuran sekolah, peperiksaan, program-program luar bilik darjah, ko-kurikulum, biasiswa dan kebajikan serta lain-lain lagi. Pendek kata, guru adalah ibu bapa kedua para pelajar ketika di sekolah, guru juga adalah kaunselor, kerani, bendahari, setiausaha yang turut sama membantu pengurusan sekolah secara tidak langsung.

Tekanan pasti wujud dalam apa sahaja kerjaya yang diceburi. InsyaAllah, perancangan masa yang betul dapat membantu mengurangkan tekanan. Salah satu tips pengurusan stress yang elok diamalkan ialah:

"Gunakan waktu bekerja semaksima mungkin. Urusan yang boleh diselesaikan di tempat kerja, jangan dibawa pulang ke rumah. Jadi, kita mampu menikmati waktu bekerja dan waktu peribadi yang berkualiti dengan cara yang terbaik."

Bagi saya, jika ada sesiapa yang memilih kerjaya guru sebagai alternative terakhir kerana tidak mahu digelar penganggur, ternyata dia telah membuat satu kesilapan besar. Melalui satu taklimat perguruan yang pernah saya hadiri, saya memahami bahawa:

“Dunia pendidikan memerlukan seseorang yang benar-benar berjiwa pendidik. Seseorang yang tahan dengan cabaran, sanggup berkorban dan mahu berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu pelajar mencapai kejayaan. Jika seorang guru itu tidak mampu membantu akal para pelajar berjaya dalam akademik, sekurang-kurangnya didiklah jiwa muda mereka menjadi manusia.. iaitu manusia yang berakhlak mulia dan beragama. ”

Sememangnya, setiap guru akan mengalami peningkatan gaji bulanan seiring dengan tempoh perkhidmatan. Tahap Jusa C adalah tahap tertinggi dalam profession pendidikan ini. Namun, ada kata-kata yang menarik untuk dikongsi:

Tak perlu fikir, mampukah tahap Jusa C dalam perkhidmatan seorang guru memberi kebebasan kewangan selepas bersara? Mesti fikir, mampukah tahap keikhlasan dalam jiwa seorang guru memberi pahala berterusan selepas meninggal dunia?


Sebenarmnya, kehidupan harian kita adalah medan pendidikan untuk kita lebih memahami erti kewujudan kita di atas muka bumi ini. Setiap hari, saya belajar sesuatu yang baru. Saya belajar secara tidak langsung daripada pihak pengurusan atasan dan pekerja-pekerja di pejabat, rakan-rakan guru, makcik-makcik di kantin, pakcik dan makcik yang memotong rumput dan menyapu sampah. Malah, saya juga belajar daripada para pelajar saya sendiri. Setiap hari saya berdepan dengan pelajar-pelajar yang sama tetapi karenah setiap pelajar bermacam ragam dan berbeza-beza. Setiap hari ada sahaja cerita baru untuk dikongsi. Tak kira sama ada cerita gembira, sedih, lucu atau menginsafkan. Lebih menarik, Bilik Guru Bahasa menggabungkan guru Melayu, guru Cina dan guru India. Berbeza daripada bilik guru lain di sekolah tersebut. Semua itu dapat membantu guru muda seperti saya menjadi seorang yang lebih matang, InsyaAllah.

Menjadi guru baru, pengalaman selama 3 bulan menjalani latihan praktikal tidak cukup buat saya. Maka, saya perlu berhati-hati dalam setiap tindakan dan kata-kata. Kadang-kadang, perkara kecil yang dilakukan boleh menjadi isu besar hanya kerana title 'cikgu baru...cikgu muda' yang dipegang. Saya memujuk hati:

"Bersangka baiklah kepadanya.. Bersangka baiklah kepada-NYA."

"Belajarlah hidup bermasyarakat. Terimalah setiap teguran dan kritikan dengan positif dan lapang dada. Jika mereka tersalah sangka, maka maafkanlah. Jangan terlalu fikir pandangan manusia yang terlalu ramai tapi fikirlah pandangan ALLAH yang hanya satu." [Ukhti Nor Baiyah, 2010]



Buat ibu bapa dan keluarga tersayang, saudara-mara, rakan-rakan, seperjuangan Cohort 3, juniors and seniors of B. Ed TESL programme, guru-guru, di SMK Jengka Pusat 1 dan guru-guru di SMK Jengka 2, para pensyarah di IPGM Kota Bharu dan UiTM, Shah Alam dan sesiapa sahaja yang mengenali saya.. Terima kasih atas segala jasa, sokongan dan doa yang diberikan. Hanya Allah yang tahu selama mana saya mampu bertahan dalam arena pendidikan ini.

Teringat ceramah seorang Guru Cemerlang di SMK Faris Petra, Kelantan yang bernama Puan Azalina. Beliau memegang prinsip:

To Be Seen

To Be Heard

To Be Remembered..

Ya, fizikal saya memang dapat dilihat oleh mereka yang dikurniakan mata untuk melihat.. Kata-kata saya juga mungkin dapat didengar oleh mereka yang memberi perhatian sepanjang pengajaran saya. Persoalannya, mampukah saya menjadi seorang insan yang sentiasa diingati di ingatan dan hati para pelajar sama ada selepas saya berpindah ke sekolah lain.. selepas bersara.. atau selepas saya meninggal dunia?


Barangsiapa mengerjakan kebajkan, maka itu untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa mengerjakan kejahatan, maka itu akan menimpa dirinya sendiri. Kemudian, kepada Tuhanmu kamu akan dikembalikan." [al-Jasiyah: 15]

Waallahu 'alam…

3 comments:

Faeez said...

Best tul baca blog Nur....update lah selalu..akk nak amik eh kata2 yg akak berkenan sbg pemangkin motivasi...br 7 thn jd cikgu...kdg2 motivasi down juga...ni nak bangkit semula....Thanks a lot

pemerhati bebas said...

cikgu..cikgu

Mumtaz said...

terima kaseh kerana sudi share kata2 yg bermanfaat di blog anda..jazakallahukhairan..;-)