19 Julai 2010 : Melapor diri di SMK Jengka 2, Maran.
11 Jun 2012 :
Melapor diri di SMK Gudang Rasau, Kuantan.
14 Julai 2013 : Melapor diri di SMK Renek, Besut.
TAHNIAH!
Permohonan anda bertukar ke TERENGGANU
diluluskan.
|
Tentulah hati berbunga
riang dan mulut tidak lupa mengucapkan kalimah suci “Alhamdulillah” ketika
membuat semakan status permohonan ini secara online.
Hati bertambah lega dan syukur apabila surat rasmi selamat berada di tangan sebelum urusan ‘serah tugas’ dapat dilakukan.
Saya percaya, tentu ramai rakan yang terkejut kerana saya berkhidmat di 3 buah sekolah dalam tempoh 3 tahun. Sesuatu yang luar biasa bagi seorang guru muda seperti saya tetapi sesuatu yang biasa sebenarnya bagi seorang guru yang bergelar isteri kepada pegawai polis atau tentera.
Saya sendiri tidak pasti,
‘cabel’ mana yang membolehkan hijrah saya ini nampak mudah. Namun, saya percaya
kepada soal rezeki dan kuasa Allah.
Apabila Allah
berkata “Kun Fayakun” = jadilah, maka jadilah sesuatu itu!
Ini bermakna, biarpun
1000 orang yang menghalang.. tetapi apabila Allah mengizinkan, tentu permohanan
ini berjaya.
Begitu juga, biarpun
1000 orang yang menolong.. tetapi apabila Allah tidak mengizinkan, maka tentu
permohanan ini gagal.
Secara mudahnya, peranan
USAHA + DOA dalam apa sahaja hajat yang kita mahukan sangat penting. Sungguh-sungguh
berusaha. Sungguh-sungguh berdoa. ALLAH adalah ‘cabel’ yang paling agung.
Alhamdulillah wa shukri Lillah..
Setelah 6 bulan diuji dengan kehidupan yang agak susah dan meletihkan, saya dan suami dapat tinggal sebumbung untuk membina sebuah keluarga yang sempurna.
Mungkin ini yang dikatakan “Rezeki Anak.” Mungkin juga ini “Rezeki Ramadhan”
Secara peribadi,
penghijrahan ini memberi momentum besar dalam kerjaya saya sebagai seorang
guru. Kata orang, bukan mudah untuk menyesuaikan diri di tempat baru. Mungkin
juga selepas ini saya akan terus berhijrah. Walaupun begitu, saya melihat
perkara ini dari sudut yang positif. Saya berpegang kepada prinsip:
“Be grateful. Choose to
be happy. Respect and forgive others. Remember ALLAH”
Sesungguhnya, segala
pengalaman dan kenangan selama 3 tahun ini sangat bermakna dalam kehidupan
saya, baik kehidupan dalam profession perguruan mahupun kehidupan peribadi.
Sedikit demi sedikit, saya semakin memahami reality kehidupan seorang guru. Hari demi hari, saya semakin matang dan berani dalam melayari kehidupan sebagai isteri dan ibu.
Hidup ini bukan mudah. Namun, hidup ini juga bukan terlalu payah jika kita bersandarkan segalanya kepada ALLAH. Jelas dengan matlamat sebuah kehidupan. Sentiasa meletakkan ALLAH di tangga teratas.
Saya akui, saya tidaklah sekuat mana. Sedikit kekuatan yang ada adalah berkat doa dan sokongan suami dan ibu. Pada peringkat awal, saya pernah berjumpa dengan pengetua sekolah untuk menyampaikan hasrat mengambil cuti tanpa gaji. Terasa benar-benar tertekan apabila harus membesarkan anak kecil seorang diri dalam keadaan saya sendiri adalah wanita bekerjaya dan pertama kali bergelar ibu.
Setiap hari, kepenatan mental dan fizikal menjadikan rutin harian terasa begitu susah dan tidak menggembirakan.
Syukurlah, Allah memberi kesedaran kepada saya dengan pelbagai cara.
Saya merasa penat kerana menjaga anak tanpa sesiapa dapat membantu. Dalam masa yang sama, adakah saya benar-benar merasai perasaan wanita-wanita yang telah lama berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak?
Saya merasa sedih apabila terpaksa berjauhan dengan suami. Dalam masa yang sama, adakah saya benar-benar memahami perasaan wanita-wanita yang telah lanjut usia tetapi masih belum bertemu jodoh? Lebih perit, adakah saya benar-benar memahami perasaan wanita-wanita yang telah kematian suami?
Melalui satu rancangan di saluran TV Al-Hijrah, Allah telah memberi saya kekuatan dengan kesedaran bahawa di luar sana ada lagi wanita yang lebih hebat ujian hidupnya tetapi masih mampu tersenyum bahagia. Marilah kita meyakini bahawa Allah menguji mengikut kemampuan hamba-hambaNya.
Ada wanita yang diuji dengan kematian suami pada usia yang muda. Ada wanita yang diuji dengan anak-anak yang merupakan golongan orang kurang upaya (OKU). Ada wanita yang terpaksa keluar bekerja dalam keadaan yang sukar. MashaAllah!
Dalam keadaan sedih, kesunyian dan keletihan..seringkali saya memujuk hati:
Apabila merenung kembali, nikmat Allah itu terlalu luas jika dibandingkan dengan sedikit ujian dari-Nya. Sebenarnya, masalah menjadikan diri kita lebih matang dan lebih kuat pergantungan kepada Yang Maha Kuasa.
Setiap insan diuji dengan cara masing-masing. Dalam setiap kesusahan, pasti ada kemudahan. Setiap insan juga berkorban dengan cara masing-masing. Dalam setiap pengorbanan, pasti ada balasan.
Sekadar perkongsian pengalaman kepada rakan-rakan di luar sana yang mungkin menghadapi nasib yang sama.
1) Berdoa dengan sepenuh hati agar cabaran yang harus dihadapi mampu dihadapi dengan hati yang tenang serta penuh syukur dan redha. Allah sebaik-baik Penolong.
2) Berkongsi susah dan senang dengan suami. Keep in touch dengan menggunakan sebaik mungkin segala bentuk teknologi canggih yang ada.
3) Memilih pengasuh anak yang terbaik dan boleh dipercayai yang benar-benar memahami keadaan kita sehingga boleh menjadi 'orang yang diharap' apabila kita berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan.
4) Pengurusan masa yang sistematik. Masa di sekolah adalah masa bekerja. Masa di rumah adalah masa untuk anak dan keluarga. Sejak menjaga anak seorang diri, saya tidak pernah membuat kerja sekolah di rumah.
5) Bersedeqah mengikut kemampuan. Saya percaya, sedeqah itu dapat membuka pintu rezeki, memudahkan segala urusan dan memberi ketenangan hati.
Hari Terakhir Bersama Pelajar-Pelajar SMK Jengka 2
Hari Terakhir Bersama Pelajar-Pelajar SMK Gudang Rasau
Dalam entry kali ini,
saya ingin mengucapkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada warga
SMK Jengka 2 (first posting) dan SMK Gudang Rasau (second posting).
Saya dengan rendah hati
memohon maaf atas segala kesilapan saya kepada semua. Saya juga dengan ikhlas
hati memaafkan kesilapan sesiapa sahaja terhadap saya. Tiada manusia yang
sempurna. Kita semua sama sahaja. Semoga kita sentiasa berlapang dada dan
bersangka baik kepada semua.
Buat suami, ibu bapa, kaum keluarga dan para sahabat..
Tolong doakan hijrah ini adalah yang terbaik untuk agama, rumah tangga dan kerjaya saya. insyaAllah, amin..
Forgive me, ya Allah..
Thank You, ya Allah.
Sorry and thanks to
everyone!
No comments:
Post a Comment