Tuesday, December 31, 2013

* Ainul Mardhiyyah di Hadapan Kaabah *



Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baru 2014 kepada semua.

Melihat kepada tajuk, mungkin anda berfikir saya telah membawa si permata hati, Ainul Mardhiyyah ke Tanah Suci Mekah untuk melihat Kaabah. Ya, niat suci itu telah tersemat di hati sejak sekian lama. Namun, sekarang bukanlah masa yang paling sesuai untuk berbuat demikian. Semoga Allah memakbulkan juga hajat yang satu ini suatu hari nanti, aminn..

Wahai Muslimin dan Muslimah,

Jika difikir daripada perspektif yang lebih luas, sebenarnya dalam kehidupan seharian semua umat Islam itu sendiri, kita selalu berhadapan dengan Kaabah. Bukankah Kaabah adalah kiblat kita setiap kali mendirikan solat? Maka, sekurang-kurangnya kita berhadapan dengan Kaabah sebanyak 5 kali sehari walaupun jaraknya beribu-ribu bahkan mungkin berjuta-juta batu jauhnya.

Inilah yang ingin saya kongsikan. Si anak kecil yang baru berusia 1 tahun 3 bulan ini telah didedahkan dengan kepentingan solat dalam kehidupan seharian umat Islam. Sebelum meneruskan, sebagai ibu muda kepada seorang cahaya mata yang masih kecil, saya sedar akan pengalaman dan ilmu diri ini yang tidak seberapa.

 Jadi, saya dengan rendah hati sudi menerima sebarang bentuk komen dan cadangan daripada mana-mana ibu bapa hebat di luar sana. Semoga kita sama-sama berusaha untuk memantapkan lagi parenting skill mengikut acuan Islam yang sebenar, insyaAllah.





“ Abang pergi solat dulu. Lepas tu Sayang pulak. Kita bergilir jaga Ainul ye”

Lazimnya, itulah dialog yang saya ungkapkan kepada suami setiap kali kami berhenti untuk menunaikan solat di mana-mana masjid ketika dalam perjalanan jauh. Suami yang memahami keadaan saya dan si anak kecil, hanya tersenyum dan menurut sahaja.

Namun pada suatu hari, suami memberi idea yang berbeza:

“Sayang pergi ambil air sembahyang dulu. Lepas tu, ambil Ainul dan bawak masuk ke dalam masjid.. Kita sama-sama ikut solat berjemaah.”

Pada mulanya, saya agak keberatan untuk mengikut cadangan suami. Pelbagai persoalan bermain di minda:

Bolehkah Ainul Mardhiyyah duduk diam di dalam masjid ketika semua orang sedang solat tanpa sesiapa menjaganya?


Adakah Ainul Mardhiyyah tidak akan mengganggu para jemaah lain yang sedang bersolat?


Adakah Ainul Mardhiyyah akan menangis apabila tidak dilayan?

Begitu banyak kemungkinan yang ligat difikirkan. Namun, galakan suami dan keyakinan dirinya membuatkan saya menurut sahaja.

Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahuakhbar!

Percubaan pertama yang berjaya telah memberi ilham kepada saya untuk berkongsi di blog ini. Jika sebelum ini, saya begitu kagum melihat ibu-ibu yang tegar membawa anak-anak kecil ke dalam masjid dan mampu menunaikan solat berjemaah dengan sempurna, kini saya cuba melakukan perkara yang sama dengan penuh rasa tawakkal kepada Allah.

Saya mengambil saf yang paling tepi dan membiarkan Ainul bermain dengan ipad. Salah satu favourite Ainul ialah melihat kembali gambar-gambarnya sendiri. Saya berpesan kepadanya untuk menjaga diri sepanjang saya bersolat dan hati ini tidak putus berdoa kepada Allah agar memudahkan segala urusan saya untuk join solat berjemaah.

Lumrah si anak kecil. Si Mujahidah comel itu memang tidak betah untuk duduk diam. Sesekali dia akan berdiri, berjalan dan melihat keadaan sekeliling yang mungkin baru baginya. Sungguhpun begitu, saya bersyukur kerana dia tidak menangis atau mengganggu jemaah yang lain. Walaupun dia berjalan-jalan di hadapan jemaah, dia langsung tidak dimarahi malah dipuji atas kecomelannya berhijab. Alhamdulillah..
  



Melalui pengalaman yang sangat berharga ini, ada beberapa tips yang ingin saya kongsi kepada semua:

·         * Setiap ibu bapa mesti kuatkan hati untuk mencuba sesuatu kebaikan kepada anak kesayangan. 100% yakin dengan bantuan Allah.


·        *      Sentiasa yakin bahawa doa seorang ibu itu sangat makbul jika dilakukan dengan ikhlas.

            *       Ingat pepatah Melayu yang menyebut, “Melentur buluh biarlah dari rebungya.

Tanya kepada diri sendiri:

“Jika bukan sekarang, bila lagi? Jika bukan ibu bapanya, siapa lagi?”



·      *  Anak-anak yang masih terlalu kecil bukan diajar teori dan praktikal solat tetapi didedahkan dengan kepentingan solat. Setiap kali solat di rumah, jangan halang anak untuk melihat aktiviti tersebut. Biarkan anak tahu bahawa solat adalah amalan harian dan amalan yang sangat penting untuk dilakukan.

·         *  Ambil pengajaran daripada kisah di zaman Rasulullah S.A.W. Ketika seorang bayi menangis ketika ibunya sedang ikut solat berjemaah, Nabi Muhammad S.A.W memendekkan bacaan dalam surah kedua lantaran mendengar suara jeritan bayi tersebut. Baginda tahu pasti sang ibu sedang risau ketika anaknya menangis. Ternyata, baginda tidak pula marah kepada ibu bayi tersebut selepas selesai solat.

Secebis coretan daripada Ustaz Halim Hafidz dalam majalah At-Taqwa:


“Marilah kita galakkan anak-anak kita ke masjid. Jadikan masjid rumah kedua mereka (terutamanya anak-anak lelaki). Biarkan mereka bermain dan bergembira di masjid. Biarkan hati mereka mesra dan melekat di masjid. Santuni mereka dan jangan sampai mereka fobia untuk ke masjid.”

  
Cukup sekadar ini sahaja. Semoga bermanfaat buat penulis dan para pembaca, amin Ya Rabb..