Bismillahirrahmanirrahim..
Yeay, cuti sekolah!
Inilah kelebihan menjadi guru. Lazimnya, setiap kali pelajar-pelajar sekolah bercuti, cikgu-cikgu sekolah juga dapat 'menumpang' cuti. Alhamdulillah, cuti sekolah yang panjang ini adalah masa terbaik untuk meredakan tekanan kerja, menambah lagi ilmu di dada serta melebihkan masa bersama keluarga tercinta, insyaAllah.
Walau bagaimanapun, tempoh cuti bekerja bukanlah masa untuk enjoy sepuas-puasnya.
Hidup ini penuh dengan tanggungjawab.
Hidup ini penuh dengan kerja.
Memetik kata-kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna:
"Kerja yang ada lebih banyak
daripada masa yang ada"
Secara peribadi, cuti sekolah ini juga adalah masa terbaik untuk saya benar-benar menikmati kehidupan sebenar sebagai seorang isteri. Secara rasminya, saya menjadi seorang suri rumah sepenuh masa.
Barulah disedari, kepenatan bekerja di dalam rumah tidak jauh beza dengan kepenatan bekerja di luar rumah. Malah, kadang-kadang terasa lebih penat!
Oleh itu, saya benar-benar mengagumi para isteri di luar sana yang mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa sama ada atas kerelaan diri sendiri mahupun atas kehendak suami. Contoh terdekat ialah ibu dan ibu mentua saya sendiri.
Saya dapat merasakan bahawa suri rumah juga adalah satu kerjaya. Tetapi, jangan tersalah tafsir ya. Suri rumah bukanlah pembantu rumah. Terdapat perbezaan yang ketara di situ.
Suri rumah ialah seorang wanita bergelar isteri yang menjadi ‘suri’ di hati suami dan menguruskan rumah tangga pada bila-bila masa dalam skop kerja yang tidak terbatas.
Manakala, pembantu rumah pula ialah seorang wanita yang diupah untuk menguruskan rumah pada waktu tertentu dalam skop kerja yang terbatas.
Perbezaan yang cukup jelas, pembantu rumah juga dikenali sebagai ‘orang gaji’ kerana mereka dibayar gaji atas kerja-kerja yang dilakukan, sedangkan suri rumah tidak.
Dalam majalah mingguan Wanita, Dr. Juanda Mohd Jaya pernah menulis:
“Jika seorang suami ingin membayar gaji seorang isteri yang sanggup tidak bekerja semata-mata untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, berapakah agaknya nilai gaji yang paling layak untuk diberi?
Isteri yang menyediakan makanan yang sedap, isteri yang membasuh pakaian, menjemur dan kemudian melipat pakaian tersebut, isteri yang mengemas rumah, menyapu sampah, mop lantai, mencuci pinggan-mangkuk.. isteri yang sanggup bersusah-payah mengandung dan melahirkan zuriat untuk suami.. isteri yang melayan karenah anak-anak, isteri yang melayan suami bak raja pada bila-bila masa.. isteri yang buat itu, isteri yang buat ini.
Ah, tidak tersenarai banyaknya! Agaknya, berapakah nilai gaji yang mampu dibayar oleh sang suami buat isteri sebegini?“
Hati ini diajak untuk bermuhasabah:
Jika bekerja di luar rumah menjanjikan ganjaran wang ringgit di hujung bulan, maka bekerja di dalam rumah menjanjikan ganjaran pahala di hari pembalasan, insyaAllah.
Wang ringgit dapat dilihat dengan mata kasar tetapi kepuasan dan pahala hanya dapat dirasa oleh mata hati.
Secebis article menarik dalam majalah NONA:
“Islam tidak pernah menuntut wanita untuk memasak, membasuh baju, mengemas rumah dan mencuci itu ini. Islam hanya menuntut wanita yang telah bergelar isteri untuk memuliakan suaminya, membahagiakan suaminya serta taat kepadanya.
Jika mampu, seorang suami wajar menyediakan seorang pembantu untuk mengurangkan beban kerja isteri di rumah. Jika tidak, kerjasama antara kedua-dua pihak amat penting dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga. Malah, setiap urusan dalam rumah tangga yang dilakukan bersama-sama dapat mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara suami dan isteri”
Saya percaya.. selagi kita ikhlas, selagi itu kita akan merasa seronok dengan setiap apa yang kita lakukan.
Yakinlah, Allah itu wujud sifatnya.
"Wahai anak Adam, jika engkau terus bersabar dan mengharapkan pahala, maka AKU tidak rela membalasmu dengan balasan yang lebih rendah daripada Syurga."
(Hadits qudsi riwayat Imam Ibnu Majah)
Saya begitu tertarik menonton programme popular di saluran Astro iaitu, MasterChef Malaysia. Seronok juga melihat pelbagai gelagat dan aksi-aksi spontan para peserta rancangan itu.
Sedikit refleksi diri untuk dikongsi:
Jika setiap peserta bersungguh-sungguh membuat masakan terbaik untuk memenangi hati juri, maka setiap isteri juga haruslah bersungguh-sungguh membuat masakan terbaik untuk memenangi hati suami.
Kejayaan memenangi hati juri menawarkan hadiah yang sementara tetapi kejayaan memenangi hati suami menawarkan kesetiaan yang jauh lebih bermakna.
Benarlah petua kebahagiaan orang-orang tua:
“Ikatlah hati suami dengan menjaga perutnya. Isteri yang pandai memasak mengikut selera suami sangat bertuah. Ke mana sahaja suami itu pergi, isteri tetap di hatinya.”
Wah, hebat sekali penangan ‘air tangan’ isteri!
Definitely, the way to a man's heart is at times through his stomach.
Yes, show your love through taste!
Walaupun bukan semua wanita dilahirkan dengan kepakaran memasak, tetapi memasak adalah salah satu kemahiran hidup yang boleh dipelajari.
Satu analogy boleh dibuat:
“Jika kebanyakan wanita sanggup belajar memandu supaya reti memandu, maka kebanyakan wanita juga harus sanggup belajar memasak supaya reti memasak.”
Setiap orang bermula dengan mengenal huruf-huruf A,B,C sebelum mahir membaca..
Setiap Chef juga bermula dengan mengenal bahan-bahan masakan sebelum mahir memasak..
Persoalannya amat mudah. Mahu atau tidak?
Minat datang daripada motivasi. Motivasi pula boleh dipupuk sama ada dari dalam diri mahupun dari luar. Carilah motivasi itu dengan apa cara sekalipun untuk mendatangkan minat. Contohnya, menjadikan seseorang yang dikagumi sebagai role-model.
Tidak dapat dinafikan, kehidupan moden hari ini menuntut kebanyakan wanita untuk keluar bekerja atas dua faktor utama:
1) 1) Memantapkan ekonomi diri dan keluarga
2) 2) Memanfaatkan kepakaran yang ada
Saya mengingatkan diri sendiri bahawa wang, pangkat dan jawatan adalah tiga elemen yang begitu subjektif mengikut persepsi setiap individu. Wanita bekerjaya yang baik tahu meletakkan keutamaan dan melakukan sesuatu atas landasan keimanan.
Memetik kata-kata hikmah:
“We should instil the value of placing family first. When the ground beneath you gives way, the only people you care are your family.”
(Andrea Fonseka,2010)
Sesungguhnya, kecemerlangan dunia kerjaya di luar bermula dengan kebahagiaan keluarga di rumah. Sama ada suami atau isteri, masing-masing perlu bersikap komited.
Komited dengan kerja di luar
Komited dengan kerja di rumah
Ini kerana rumah tangga adalah satu bentuk komitmen daripada sepasang kekasih halal yang saling melengkapi dan saling memerlukan.
Ya, suri rumah adalah satu bentuk kerjaya yang begitu mulia. Buat semua suri rumah sepenuh masa di luar sana.. jangan malu, jangan segan.
"Biarlah di bumi, tidak dikenali
Tetapi di langit, disanjung tinggi."
Hanya rumah tangga yang terurus dengan matlamat menuju Tuhan mampu merealisasikan konsep Islami;
InsyaAllah, sama-sama kita usahakan.