Friday, June 17, 2011

* Kerana ALLAH memilihnya untukku *

Saya tertarik melihat skrin telefon bimbit kepunyaan suami. Satu icon comel dengan bentuk ‘love’ berserta perkataan ‘Amanah’ dan nombor.

Saya tersenyum.








NUR CaHaYa: Ape ni Abang?

Suami : Ni la bilangan hari Sayang dah jadi isteri Abang. Hari ni dah masuk hari ke 20. So, nombor ni akan terus bertambah setiap hari. (^_^)


Ya Allah, perkara SEKECIL itu membuatkan saya berasa bersyukur yang amat BESAR. Biasanya, orang membuat count down bilangan hari menuju ke hari bahagia. Tetapi, suami tercinta membuat sebaliknya. Beliau membuat count up bilangan hari kami telah bersatu sebagai pasangan suami isteri. Terima kasih wahai suami. Terasa diri ini begitu dihargai.


Ya, kini saya bukan sahaja teman hidupnya tetapi juga amanah Allah buat dirinya. Satu tazkirah buat saya. Perkahwinan ini bukan sahaja dibina atas dasar kasih sayang kurniaan Illahi tetapi juga atas dasar kepentingan agama Islam yang suci.





Alhamdulillah..
Alhamdulillah..
Alhamdulillah..

Saya selamat menjadi isteri yang sah kepada Kapten Mohd Aizuddin bin Mohd Rosli TUDM dengan sekali lafaz pada tanggal 21 Mei 2011.
Kini, dia adalah pemilik cinta di hati ini selepas Allah dan Rasul. Shukran Ya Rabb, dia hadir tepat pada masanya.. Ini anugerah yang begitu bermakna.




Ya ALLAH,
Kerana takdir-MU, kami bertemu
Dengan izin-MU, kami bersatu
Teguhkanlah ikatan ini sehingga ke hujung waktu
Jadikanlah kami hamba yang hanya mengharap redha-MU




Jika ditanya, mengapa saya memilihnya.. Jawapan yang paling tepat hanya satu:

“Kerana ALLAH telah memilihnya untukku… itulah jodoh"

Jika ditanya apa perubahan selepas berkahwin.. Hurmm, untuk tempoh yang singkat ini.. beberapa perubahan dapat disedari:

Saya bukan lagi seorang gadis remaja, tetapi kini seorang wanita yang berusaha menjadi dewasa…
Saya bukan lagi mempunyai satu keluarga, tetapi kini mempunyai dua keluarga bahagia…
Saya bukan lagi sendirian mengejar cita-cita, tetapi kini bersama-sama mencorak masa depan dengan suami tercinta…

Jika ditanya, apa perasaan selepas berkahwin.. kesimpulannya:

Kini, segala-galanya halal..
Kini, segala-galanya berpahala..
Nikmat dan manisnya cukup terasa..


"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Dan dijadikan-Nya di antara kamu berdua perasaan kasih dan sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir”.
(Ar Ruum : 21)

Tentu anda juga selalu membaca potongan ayat suci al-Quran ini di atas kad jemputan perkahwinan.

Sungguh indah ayat ini! Sungguh benar ayat ini!

Sebelum ini, dia merupakan lelaki yang paling asing dalam hidup saya. Tetapi, selepas lafaz ijab dan kabul, saya dapat merasakan suami adalah insan yang paling rapat dalam hidup saya.

Sungguh agung kekuasaaan Allah yang menciptakan mawaddah dalam rumahtangga antara dua insan yang berlainan jantina. Subhanallah!



Seringkali saya tertanya-tanya apakah rahsia dan tips kebahagiaan ibu dan ayah saya yang telah hidup bersama lebih 40 tahun lamanya. Dari muda sehingga tua.. ketika sihat dan sakit.. dalam senang dan susah.


Secara umumnya, sebuah perkahwinan yang diberkati oleh-Nya dan sebuah perkahwinan yang berjaya memerlukan keikhlasan, pengorbanan dan amalan baik yang bukan sedikit. Saya mengingatkan diri sendiri, segala amalan baik yang dilakukan dalam rumahtangga bukan sekadar mengharap kebahagiaan duniawi yang sementara tetapi lebih jauh daripada itu turut mengharap kebahagiaan akhirat yang kekal.

Ujian dan cabaran adalah lumrah kehidupan. Selagi kita hidup, selagi itu kita akan terus diuji. Perkenalan panjang kami selama 13 tahun dan pertunangan singkat kami selama 5 bulan juga diuji. Saya dengan penuh sedar memahami bahawa realiti alam perkahwinan tidak menjanjikan ketenangan pada setiap masa. Sesekali bahtera pelayaran itu akan diuji.

Yakinlah,
Ketika itu Allah hendak memberi pahala jihad atas kesabaran kita..
Ketika itu Allah sedang memberi ruang untuk menambah keimanan di hati kita..

"Dan mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat.."
(al-Baqarah: 45)



Ya Allah, jangan Kau uji kami dengan sesuatu yang tidak mampu kami menghadapinya. Kurniakanlah kami nikmat kehidupan berumah tangga yang sentiasa mewah dengan mawaddah, sakinah wa rahmah sepanjang hayat. Jadikanlah kami pasangan serasi yang saling membantu dalam ketaatan kepada agama-MU.


Amin Ya Allah..

Kami mohon dengan sangat..
Kami mohon dengan sangat..
Kami mohon dengan sangat..

Memasuki gerbang perkahwinan yang penuh nikmat dan cabaran bererti melaksanakan antara sunnah terbesar Rasulullah.

“Aku menikahi wanita. Maka, barangsiapa yang tidak suka dengan sunnahku, maka bukanlah dia daripada golonganku.”(Riwayat al-Bukhari)

“Sesiapa yang berkahwin telah menyempurnakan sebahagian daripada agama. Dan hendaklah dia beriman kepada Allah untuk melengkapkan sebahagian lagi daripada agamanya.”

Buat semua yang mengenali saya dan suami;
Terima kasih kepada sudi memeriahkan majlis kami...
Terima kasih atas hadiah-hadiah yang sangat kami hargai…
Terima kasih atas doa dan ucapan yang begitu menyentuh hati kami.

Mudah-mudahan ‘masjid’ yang dibina ini menambah bekalan kami di Hari Akhirat dan mendekatkan lagi hati kami kepada Pemilik segala cinta, ALLAH S.W.T, insyaAllah..



Buat suami yang sentiasa dihormati, dikasihi dan dirindui..

Tolong ingatkan saya.. kita berkahwin bukan untuk suka-suka
Tolong yakinkan saya..kita berkahwin kerana agama

Jom, hayati bersama sajak di bawah ini, hasil nukilan penulis yang amat saya kagumi; Fatimah Syarha bt Mohd Noordin.


Jika diri ini diterima kerana kelebihan
Nescaya kau kecewa bila terlihat kekurangan
Jika diri ini diterima kerana kecantikan
Kau akan bosan bila ia beransur hilang

Maka,
Jelaskanlah niat dan matlamat
Menerimaku kerana agama
Baru hidup beroleh berkat
Bahagia sehingga ke Syurga

Kita dua insan berbeza
Cita dan cinta yang sama
Jadilah dirimu sebenarnya
Terimalah diriku seadanya

Asam garam rumah tangga
Khilaf dan salah pasti ada
Sama-samalah berlapang dada
Pemula maaf paling mulia

Wahai suamiku,
Berjanjilah padaku
Dengan kemuliaan dirimu
Kenalkan aku dan generasiku
Pada kemuliaan Penciptamu

Suamiku yang satu,
Redhalah kepadaku
Itu tanda redha Tuhanku
Kerana bagiku
Engkau adalah kunci Syurgaku


Apa lagi yang saya mahukan dalam kehidupan yang singkat ini melainkan keredhaan seorang suami yang dapat membawa kepada keredhaan ALLAH S.W.T.

Dari Ummu Salamah, berkata, “Rasulullah S.W.T bersabda:

“Seorang perempuan jika meninggal dan suaminya redha ke atasnya, maka dia akan masuk syurga.”
(HR. Ahmad dan Thabrani)