Friday, February 18, 2011

* Solat Oh Solat *

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum kepada semua pembaca blog ini..

Alhamdulillah, Allah telah menggerakkan hati saya untuk menulis entry pertama bagi tahun 2011 ini.Tajuk entry kali ini cukup jelas. Ingin saya berkongsi tentang ibadah harian umat Islam yang WAJIB dilaksanakan 5 kali sehari semalam iaitu SOLAT.


Alhamdulillah, bersyukurlah kita jika masih dikurniakan hidayah oleh Allah untuk istiqamah dalam menunaikan solat. Baru-baru ini, hati saya cukup tersentuh apabila ada segelintir pelajar yang begitu ‘liat’ untuk bersolat dengan bermacam-macam alasan:

“Alaa..rileks la teacher. Kami muda lagi..tak solat pun takpe,” kata seorang pelajar lelaki Tingkatan 1.

“Teacher, malu la nak solat dengan budak-budak kecik. Kami kan dah besar,” kata seorang pelajar lelaki Tingkatan 4.

“Payah la teacher nak amek air sembahyang kat surau tu. Dah la panas, pastu kena berebut-rebut plak..” kata seorang pelajar perempuan Tingkatan 2.

"Astaghfirullahal Azim.." Lafaz saye di dalam hati. Teringat kata-kata seorang ustaz ketika masih di bangku sekolah dahulu:

“Kanak-kanak yang berumur 7 tahun, hendaklah diajar cara bersolat. Apabila sudah berumur 10 tahun dan masih enggan bersolat, maka wajarlah dipukul untuk memberi pengajaran.”

Erm, saya tidak pernah terfikir untuk memukul mereka yang telah berusia lebih daripada 10 tahun kerana menyedari itu tanggungjawab ibu dan ayah mereka sendiri. Saya sekadar mampu menegur secara lisan dan berdoa di dalam hati, moga-moga Allah masih sudi membuka pintu hati mereka untuk tetap melaksanakan solat walaupun sekiranya tidak disuruh oleh sesiapa.

Sebenarnya, solat adalah isu besar yang harus disedari oleh kita semua.Telah dikhabarkan bahawa solat adalah ibadat pertama yang akan dihitung oleh Allah di akhirat kelak.

Maksud sabda Rasulullah S.A.W:

“Amalan yang mula-mula dihisab, dari seorang hamba di hari Kiamat ialah solatnya. Jika solatnya diterima, maka akan diterimalah amalan-amalannya yang lain. Dan jika solatnya ditolak, maka akan ditolaklah amalan-amalan yang lain.”

(Hadis riwayat Ath-Thabrani dari Anas)

Dalam Islam, hanya ada 3 keadaan istimewa yang membolehkan seseorang itu meninggalkan solat:

* * Tertidur

2) 2 * Terlupa

3) 3 * Ketika wanita dalam keadaan haid dan nifas

Selain daripada itu, maka wajiblah seseorang yang telah akil baligh dan waras untuk menunaikan perintah Allah yang termasuk dalam rukun Islam ini.

Islam itu mudah dan praktikal.

Ketika sakit, solat dipermudahkan semampu yang boleh.

Ketika bermusafir, solat boleh dijamakkan waktunya dan dipendekkan bilangan rakaatnya.

Begitu cantiknya Islam.. Maha Bijaksana Allah S.W.T yang mengatur kehidupan manusia. Subhanallah!

Saya mengingatkan diri saya sendiri bahawa solat itu adalah talian hayat kita dengan Allah. Dengan kata lain, seorang hamba boleh berhubung secara terus dan bermunajat kepada Tuhannya melalui bacaan-bacaan dalam solat dan doa selepas bersolat. Itu juga masa terbaik untuk mengadu apa sahaja masalah dan kesulitan hidup kepada DIA Yang Maha Mendengar:

“Dan mintalah pertolongan kepada ALLAH dengan jalan sabar dan solat..” (al-Baqarah: 45)

Doa selepas setiap kali bersolat itu sendiri adalah antara waktu mustajab doa, insyaAllah.

“Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya ialah di kala hamba itu bersujud. Maka, banyakkanlah doa dalam sujud itu.”

(Hadis riwayat Muslim, Abu Dauddan An-Nasa’Idari Abu Hurairah)

Kita mahu menjadi hamba Allah yang sentiasa disayangi-Nya. Maka, ingatilah ALLAH ketika kita senang, nescaya DIA akan mengingati kita ketika kita susah.

Apabila saya bercakap, telinga pertama yang mendengar ialah telinga saya.

Apabila saya menulis, mata pertama yang membaca adalah mata saya.

Semoga tazkirah ringkas ini memberi kebaikan kepada kita bersama, insyaAllah.


Waallhu ‘alam..

“Dan dirikanlah olehmu akan solat untuk menyebut dan mengingati-KU.” (Thaha: 14)