Sunday, December 6, 2009

* Cantik & Islam *

Situasi 1:

NUR CaHaYa: Wah, cantiknya mak masa muda-muda dulu.
Bonda : Biasalah, perempuan-perempuan muda kan semuanya cantik.


· Ikhlas saya memuji kecantikan ibu di alam gadis ketika menatap sekeping gambar lamanya. Ibu kelihatan sungguh cantik berbaju kebaya dengan sekuntum senyuman yang menawan ditambah dengan potongan pinggang ramping ala Saloma, hehe. Dan itulah respond ringkas yang mak berikan dengan nada merendah diri.


Situasi 2:

NUR CaHaYa: Cantik tak pengantin perempuan tu, mak?
Bonda : Biasalah, perempuan-perempuan muda kan semuanya cantik.

· Itu soalan yang saya ajukan sebaik sahaja ibu pulang dari kenduri kahwin. Sekali lagi, ibu memberi jawapan yang sama dalam dua situasi berbeza.

Saya bersetuju dengan pendapat ibu saya itu kerana saya pernah terbaca kata-kata:
“Tiada wanita yang hodoh. Hanya kecantikan berbeza.”

Apabila berbicara soal kecantikan, mungkin ia dianggap isu yang remeh. Namun, ada juga pihak yang berpendapat, melibatkan diri dalam bidang perniagaan berkaitan dunia kecantikan dapat memberi pulangan yang cukup lumayan. Secara fitrahnya, semua orang mahu kelihatan cantik. Semua orang sukakan sesuatu yang nampak cantik. Cantik yang saya maksudkan di sini hanya berfokus kepada keindahan ciptaan Allah terhadap manusia terutamanya golongan wanita. Ya, mungkin definisi ‘cantik’ itu sendiri berbeza bagi setiap individu kerana ia subjektif sifatnya. Oleh kerana itu, pepatah Inggeris ada menyebut,

‘Beauty is in the eyes of the beholder’

Secara peribadi, saya merasakan wanita cantik itu wujud dalam setiap golongan. Kanak-kanak ada yang cantik, gadis remaja ada yang cantik, wanita dewasa ada yang cantik. Malah, wanita tua juga ada yang cantik. Contohnya, pelakon veteran, Dato’ Sarimah Ahmad masih kelihatan cantik dan anggun dalam usia menjelang 60-an. Apatah lagi, saya memang mengagumi makcik-makcik yang masih kelihatan menawan di usia tua, terutamanya wanita-wanita Indonesia. Kebanyakannya kelihatan cantik secara semulajadi dan awet muda mungkin kerana mereka konsisten mengamalkan jamu serta petua-petua tradisional sejak usia muda remaja. Bagi saya, ibu saya yang telah tua juga cantik orangnya kerana saya dapat melihat kecantikan hatinya ;-)
Isu kecantikan ini juga boleh menjadi isu yang sensitif untuk dibualkan. Mungkin boleh menerbitkan rasa riak kepada yang memilikinya dan mengundang rasa dengki kepada yang tidak memilikinya. [Ya Allah, hindarkanlah kami daripada dua penyakit hati ini, amin...~]
"Dan apa sahaja yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kesenangan hidup duniawi dan perhiasannya; sedang apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Tidakkah kamu mengerti?"
[al-Qasas: 60]
Baru-baru ini sejuk hati saya menonton pertandingan akhir “Gadis Melayu 2009” di saluran TV9. Seorang pelajar universiti berumur 20 tahun yang bertudung telah dinobatkan sebagai juara. Rasanya, peserta-peserta lain pada malam itu tidak kurang cantiknya tapi hanya Fika satu-satunya peserta yang bertudung. Bagi saya, pemilihan Fika sebagai juara adalah tepat. Beliau bukan sahaja dinilai dari segi kecantikan luaran tapi juga keyakinan dirinya berinteraksi dengan para penonton, bakat lakonan semulajadi yang mampu menyentuh hati, kebijaksanaannya menjawab soalan-soalan daripada pihak juri serta kesopanan dirinya sebagai gadis Melayu yang beragama Islam.

Cukupkah wajah yang cantik tanpa iman yang mantap?

Cukupkah wajah yang cantik tanpa akhlak yang indah?

Cukupkah wajah yang cantik tanpa akal yang bijak?

Tidak dinafikan wajah yang menarik dan tubuh badan yang ideal adalah aset berharga bagi seorang wanita untuk meningkatkan keyakinan diri. Contohnya, Mendiang Lady Diana bukan sahaja dipuja di seluruh dunia kerana sifat rendah dirinya tetapi juga kerana kecantikan yang dimilikinya. Namun, kecantikan luaran bukanlah segala-galanya dan ia tidak akan kekal lama. Mungkin anda juga pernah menonton drama TV “Sumpah Bunian” lakonan Nora Danish. Nora membawakan watak gadis Bunian yang cukup cantik tetapi berubah menjadi hodoh apabila wajahnya terkena air panas. Walaupun itu sekadar lakonan semata-mata, namun besar pengajaran yang dapat diambil. Kecantikan itu milik Allah dan bila-bila masa sahaja Allah berhak mengambilnya kembali.
Dengan menyedari akan hakikat ini, maka tidak akan timbul rasa riak dan bangga apabila dipuji, "Awak ni cantik la, lawa la, manis la, ayu la, cun la..." Segala pujian semestinya dikembalikan kepada Allah Yang Maha Pencipta dengan lafaz 'Alhamdulillah...'

“Allah itu Maha Cantik dan sukakan kecantikan”

Apabila dikaitkan kecantikan dan Islam, maka apa yang boleh kita perbincangkan? Maksud firman Allah di dalam al-Quran:

"Dijadikan indah pada manusia kecintaan pada apa-apa yg diingininya iaitu wanita-wanita…"
(Ali Imran: 14)

Ayat ini telah menunjukkan bahawa wanita terletak di tangga teratas sebagai sesuatu yang menjadi kecintaan manusia. Sememangnya setiap wanita mempunyai daya penarik tersendiri dan kerana itu wanita dikatakan sebagai hiasan dunia. Dan ingatlah wahai diri, secantik-cantik hiasan dunia di sisi ALLAH hanyalah wanita solehah.

Kecantikan wanita mampu membuat lelaki lemah imannya, membuat lelaki runtuh egonya, membuat lelaki tidak lena tidurnya. Oleh yang demikian, adalah sunat hukumnya bagi seorang isteri untuk berhias di hadapan suaminya untuk menghiburkan hati suaminya itu. Islam juga menggariskan kecantikan sebagai salah satu faktor pemilihan wanita sebagai isteri, tapi telah ditegaskan dalam sabda Rasulullah, itu bukanlah faktor utama:

Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata: Rasulullah saw bersabda:
"Wanita dinikahi kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah yang bagus agamanya, kalau tidak nescaya engkau celaka"
(HR Bukhari dan Muslim)

Bahagiakah sorang suami yang mempunyai isteri cantik tetapi berlaku curang?

Bahagiakah seorang suami jika mempunyai isteri cantik tapi mengabaikan bertanggungjawab terhadap rumah tangga?

Bahagiakah seorang suami yang mempunyai isteri cantik tapi hanya mementingkan dunia dan melupakan akhirat?

Maksud sabda Rasulullah S.A.W:
“Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinasakannya. Janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya menyebabkan kederhakaannya. Sebaliknya, nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya, wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu.”
[Riwayat Abdullah Ibn Humaid)

Besar pengajaran hadis ini buat lelaki dan wanita. Lelaki janganlah mementingkan kecantikan dalam memilih isteri dan wanita pula janganlah merasa rendah diri jika merasa diri kurang cantik. Sesungguhnya, orang-orang yang ikhlas dalam beragama itu sama ada lelaki atau wanita akan sentiasa disukai, insyaAllah.

Ada satu tazkirah yang mahu dikongsi di sini. Sebenarnya, kita semua dapat memiliki wajah yang bersih dan ‘sejuk mata memandang’ jika mengamalkan doa setiap hari, insyaAllah. Doa itu dibaca ketika mengambil wuduk. Basuhlah wajah sambil berdoa:

“Ya Allah, putihkanlah wajahku di akhirat kelak sebagaimana Engkau putihkan wajah-wajah orang yang beriman.”


Kecantikan luaran dapat diusahakan dengan cara yang makruf. Wanita-wanita moden hari ini mempunyai banyak alternatif untuk mendapatkan atau mengekalkan kecantikan yang diidam-idamkan. Terlalu banyak spa wujud untuk rawatan luar dan dalam, pengenalan bermacam-macam makanan kesihatan untuk mengekalkan keanjalan wajah, pelbagai kosmestik kecantikan jenama tempatan dan antarabangsa, terdapat program-program kelangsingan badan yang hebat dan sebagainya. Semua itu tentunya memerlukan perbelanjaan yang besar untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Tapi, berhati-hatilah…

Ada yang sesuai dan ada yang tidak.
Ada yang boleh dibawa solat dan ada yang tidak.

Kajilah dengan teliti dan bertanyalah kepada mereka yang lebih arif. Setiap amal itu bermula dengan niat. Ingatkan diri sendiri, sentiasa memperbetulkan niat. Kecantikan itu untuk siapa? Kecantikan itu untuk apa?


Persoalannya, cukupkah kecantikan luaran sahaja yang diukur dalam menjadi wanita sejati? Bukankah kecantikan luaran itu sementara sifatnya. Dari segi perspektif Islam,


Layakkah perempuan-perempuan cantik yang seksi dan tidak bertudung itu dicontohi?

Layakkah perempuan-perempuan cantik yang rosak akhlaknya itu dipuji?

Layakkah perempuan-perempuan cantik yang sombong dan angkuh itu disanjung tinggi?


Cantik atau tidak wajah dan fizikal seseorang itu adalah persoalan kedua. Perkara asas yang paling utama ialah kecantikan hati. Kecantikan batiniah yang akan menyerlahkan kecantikan zahiriah. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa kecantikan itu bukan sahaja satu anugerah yang wajib disyukuri tetapi juga satu ujian untuk menguji iman di hati. Kecantikan tidak semestinya membawa bahagia tetapi mungkin juga mengundang derita.


Contohnya, Siti Sarah yang merupakan isteri Nabi Ibrahim a.s. dikurniakan wajah yang sangat cantik pada zamannya sehingga menjadi idaman raja Mesir. Nabi Ibrahim a.s diugut bunuh jika tidak menyerahkan isterinya itu kepada raja tersebut. Kisah lain, Nabi Yusof a.s dikurniakan Allah wajah yang cukup indah dan tampan yang benar-benar menguji keimanannya kepada Allah. Apabila digoda oleh Zulaikha, lantaran kekuatan iman Nabi Yusof, beliau sanggup dipenjarakan daripada melakukan maksiat terhadap Tuhannya.


Kesimpulannya, untuk memiliki kecantikan yang menyeluruh sebagai satu pakej lengkap bukanlah mudah. Dan bukan semua wanita juga cukup bertuah jika dikurniakan kecantikan hakiki yang dinilai dari luar dan dalam. Seperti hadis Rasulullah S.A.W yang cukup popular:

“Allah tidak melihat kepada muka dan tubuh badanmu, tapi Allah melihat kepada hati dan amalan-amalanmu”.


Wahai diri,

Syukurilah wajah dan fizikal kurniaan Illahi
Teruslah berusaha memperbaiki kualiti keperibadian diri
Kerana hanya hati yang suci dan amalan yang murni
Akan kekal dibawa sehingga mati


Waallahu ‘alam…~