Thursday, May 31, 2012

* 9 Bulan *

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Lama rasanya tak menulis. Barulah disedari, selain faktor masa dan idea, kesihatan juga adalah faktor penting yang mempengaruhi peluang untuk menulis. Ada masa dan ada idea tetapi badan sakit, tentulah tiada apa yang mampu dibuat.

Alhamdulillah, kesihatan saya semakin stabil selepas melalui trimester pertama yang agak mencabar. 

Sebenarnya, entry kali ini ditujukan khas buat bakal-bakal ibu/ emak/ mama/ mummy/ umie/ bonda di luar sana. Semoga semua pembaca merasa gembira dan mendapat manfaat dengan perkongsian ini, insyaAllah.



Doktor: Tahniah, puan! Keputusannya positif. 

NUR CaHaYa: Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.
 
*************************************************


Terasa masa berlalu terlalu cepat. Masih jelas dalam ingatan tentang pertemuan saya dengan seorang doktor muda di Klinik Ummu Roihan, Kuantan kira-kira 5 bulan yang lalu. 

Syukurlah, tekaan saya dan suami tepat serta doa kami dimakbulkan oleh Allah dalam tempoh masa yang agak cepat. 

Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahu akhbar!


************************************************
Cikgu X: Nampak makin berseri sekarang. Dah ada isi ke tu?

NUR CaHaYa: Alhamdulillah :)

************************************************

Pada mulanya, saya hanya berkongsi berita gembira ini dengan beberapa insan penting dan rapat dalam kehidupan saya. Walau bagaimanapun sejak usia kandungan baru mencecah 6 minggu, berita ini begitu cepat tersebar di sekolah tempat saya berkhidmat. 

And surprisingly, most of my friends on Facebook were able to read the underlying meaning of my status update:

“I can see tears on his cheeks..
Reflecting how grateful he is..
Thank You ALLAH!”

Bagi saya, isu zuriat boleh menjadi isu yang sensitif kepada sesetengah pihak. Isu ini hampir sama dengan isu jodoh kerana kedua-duanya berkaitan soal rezeki.

Tentu seorang gadis atau teruna yang belum bertemu jodoh merasa sedih dan sedikit tertekan jika terlalu kerap diajukan dengan persoalan, “bila nak kawen?” sedangkan dia masih belum mempunyai calon yang sesuai.

Begitu juga, tentu seorang wanita bergelar isteri yang belum dikurniakan zuriat merasa sedih dan sedikit tertekan jika terlalu kerap diajukan dengan persoalan, “bila nak ada anak?” sedangkan dia masih belum mengandung.

Oleh itu, JODOH dan ZURIAT benar-benar merupakan rezeki yang datang daripada Allah dan wajib disyukuri. Kita sebagai hamba-Nya hanya mampu berusaha dan berdoa. 


“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami pasangan dan keturunan yang menjadi penyenang hati kami, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Al-Furqaan: 74)

Di sebalik pelbagai kesusahan dan kepayahan yang terpaksa dilalui sepanjang tempoh kehamilan dan kelahiran, kita perlu menyedari bahawa hakikatnya, bukan semua wanita bergelar isteri diizinkan oleh Allah S.W.T untuk menjadi ibu.



Kehamilan adalah satu amanah daripada Allah.

Kehamilan memerlukan keikhlasan yang agung.



Benarlah, anak itu adalah berita gembira yang datang daripada Allah.

Anak adalah satu berita baik apabila dia hadir dalam hidup pasangan yang sah.
Anak adalah satu berita baik apabila dia hadir tepat pada masanya.

Maksud sabda Rasullullah S.A.W:
“Anak-anak itu membawa berkat. Mereka akan membawa pelbagai nikmat. Mereka akan membantu apabila terjadi musibah dan mereka merupakan ubat di waktu sakit serta rezeki mereka datang daripada Allah!”


Maka, sungguh tragis apabila kita sering disajikan dengan berita pembuangan bayi di merata-rata tempat. 

Ketika itu,
Anak adalah satu berita buruk apabila dia hadir dalam hidup pasangan yang tidak sah.
Anak adalah satu berita buruk apabila dia hadir tidak tepat pada masanya.
Nau’zubillah..


Lilypie Pregnancy
tickers



Alhamdulillah.. ketika artikel ini ditulis, kandungan saya telah berusia hampir 6 bulan. Sesuatu yang menakjubkan ialah setiap kali merasai gerakan janin dalam kandungan. Melihat keadaan bayi melalui imbasan ‘ultrasound’ pula membawa hati menginsafi akan kebesaran Allah. 

Sesungguhnya, satu nyawa yang sedang membesar selama 9 bulan dalam rahim seorang wanita adalah salah satu keajaiban Allah.. salah satu bukti kewujudan Allah. Subhanallah!

Sesuatu yang jelas, saya bukan sahaja berubah dari segi fizikal.. malah turut berubah dari segi emosi dan rohani.

Terasa badan ini semakin berat..
Terasa perasaan kasih kepada ibu semakin kuat..
Terasa pergantungan kepada Allah itu semakin hebat!

Tempoh 9 bulan ini begitu mendebarkan terutamanya bagi wanita yang hamil buat pertama kali.
Saya memujuk hati, mengandung dan melahirkan adalah jihad wanita yang sangat mulia. 

Beginilah pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu saya, ibu mentua dan semua wanita di seluruh dunia yang telah menjadi ibu. Malah, bukan sedikit wanita yang sanggup melalui proses yang sama berulang kali dalam kehidupannya. 

Mengapa proses melahirkan itu amat menyakitkan?

Mengapa tanggungjawab mengandung dan melahirkan diberikan kepada kaum Hawa?

Sesungguhnya, Allah S.W.T Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.




Saya percaya, biarpun tempoh 9 bulan ini dilalui dengan penuh debaran dan kepayahan, tentunya semua bakal ibu meletakkan harapan dan memanjatkan doa yang berpanjangan. 

Anak yang baik bukan sekadar diperlukan sebagai penyeri rumah tangga bersama suami tercinta, tetapi lebih jauh daripada itu, anak yang baik juga diperlukan sebagai ‘saham’ yang menguntungkan buat suami dan isteri ketika di alam barzakh dan di alam akhirat kelak, insyaAllah.

Memetik hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Apabila mati anak Adam, maka putuslah segala amalannya kecuali 3 perkara:
1       1)      Sedeqah jariah
2       2)      Ilmu pengetahuan yang bermanfaat
3       3)      Anak soleh/ solehah yang sentiasa mendoakan kedua ibu dan bapanya.”

Kepada suami tersayang, ibu bapa, ibu bapa mentua, kaum keluarga, saudara-mara dan semua kenalan yang mengenali saya.. Terima kasih atas segala bentuk bantuan dan sokongan sama ada bersifat fizikal mahupun moral. Terima kasih atas doa-doa selamat dan nasihat yang berterusan. 

Tolong doakan agar anak ini selamat lahir ke dunia dalam keadaan sihat sempurna dan baik budi pekertinya sebagai penambah umat Nabi Muhammad S.A.W yang mulia, insyaAllah.

Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan seperjuangan Cohort 3 TESL (2004-2010), akak-akak seniors dan semua kenalan yang telah menjadi ibu dan juga tahniah kepada yang sedang ‘membawa perut comel’ :)
 
Mari terus berdoa agar segalanya dipermudahkan.
Mari terus berdoa agar semua bakal ibu mampu melalui tempoh 9 bulan ini dengan sihat, ceria dan penuh tawakkal.
Amin Ya Rabbal Alamin..


Jom, kita basahi hati untuk menginsafi hikmah kejadian diri melalui perkongsian video ini. 

Sejujurnya, air mata saya cukup mudah mengalir setiap kali melihat video ini. Mungkin anda juga..


Maha Suci Allah.. Segala puji bagi Allah.. ALLAH Maha Besar! 

Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahu Akhbar!